Hidaytul Akmal Ahmad


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan bekas pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan dua pengarah syarikat swasta, semalam.

Penahanan mereka bagi membantu siasatan berhubung kes pembalakan dan perlombongan haram serta penyeludupan.

Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata, bekas pengarah JDKM itu ditahan di pejabat SPRM Kelantan, manakala dua individu lain dicekup di hotel di Genting Highlands.

“Sejumlah wang tunai turut dirampas daripada individu terbabit dan mereka direman selama lima hari mulai semalam bagi membantu siasatan lanjut.

“Selain itu, SPRM juga membekukan semua akaun bank suspek terbabit dan pihak berkaitan membabitkan keseluruhan 20 individu untuk siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, sebelum ini SPRM sedang melakukan operasi bagi melumpuhkan kegiatan rasuah membabitkan pembalakan dan perlombongan haram, selain penyeludupan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 September 2019 @ 12:03 PM