SERAMAI 107 individu ditahan dalam Ops Damn Tokan di sekitar Negeri Sembilan dari 27 hingga 29 September lalu dengan nilai rampasan berjumlah RM56,684.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, operasi berkenaan bertujuan memutuskan bekalan dadah kepada penagih dengan mensasarkan tokan kecil-kecilan.

“JSJN Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Negeri Sembilan melancarkan Ops Damn Tokan selama tiga hari bermula 27 September lalu dan berjaya menahan 107 individu berusia dari 20-an hingga 50-an yang disyaki pengedar dadah secara kecil-kecilan.

“Pelbagai jenis dadah dirampas dengan berat keseluruhan 121.91 kilogram dan dianggarkan bernilai RM56,684. Polis turut menyita harta dengan nilai dianggarkan RM162,949,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, di Seremban, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 September 2019 @ 10:30 AM
PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd (tiga dari kiri) menunjukkan rampasan pelbagai jenis dadah dalam satu Operasi 'Damn Tokan' Negeri Sembilan selepas sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK), Negeri Sembilan. Turut bersama, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusof (dua dari kiri). FOTO Adzlan Sidek