ANAK-anak Allahyarham gagal menahan sebak ketika menyiram air dan menabur bunga di pusara bapa mereka. FOTO BERNAMA.
BERNAMA

ALLAHYARHAM Datuk Engku Hamzah Tuan Mat disifatkan sebagai individu yang berdedikasi dan berintegriti, dalam menjalankan tugas sebagai Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, walaupun mengenali Allahyarham dalam tempoh yang singkat, beliau amat mengagumi Engku Hamzah kerana seorang contoh penjawat awam yang berdedikasi, serta komited dalam menjalankan tugasnya.

“Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan para solihin. Kita tahu pemergian beliau secara mengejut, perasaan sedih yang dirasai keluarga sangat mendalam, saya berharap mereka bersabar dan reda,” katanya kepada pemberita di Kajang, hari ini.

Dr Wan Azizah turut menunaikan solat jenazah Allahyarham Engku Hamzah pada pagi ini berkata, beliau terkejut dan bersedih dengan pemergian Allahyarham yang meninggal dunia, semalam.

Allahyarham berusia 60 tahun meninggal dunia di Hospital Serdang (HS) pada 7.30 malam akibat serangan jantung, meninggalkan seorang balu Datin Rohana Che Hassan serta seorang anak lelaki dan dua perempuan.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, sedih atas pemergian seorang sahabat karibnya yang disifatkan sangat berintegriti dan berkredibiliti dalam menjalankan tugas di MKN.

Katanya, MKN kehilangan seorang ketua yang berdedikasi serta komited, selain arwah juga seorang individu yang mudah didekati dan perlu menjadi contoh kepada penjawat awam.

“Beliau seorang yang bersih daripada masalah rasuah atau penyelewengan. Engku Hamzah sangat berintegriti tinggi,” katanya kepada Bernama di kediaman Allahyarham di Taman Ramal Suria, Sungai Ramal, Kajang.

Abdul Hamid berkata, kali terakhir beliau bertemu Engku Hamzah ketika Hari Keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada awal bulan ini.

“Kali terakhir saya bertemunya, beliau tidak memberitahu masalah kesihatannya tetapi memaklumkan kepada saya yang beliau tidak sabar untuk bersara, iaitu pada bulan depan,” katanya.

Turut hadir menziarahi Allahyarham adalah Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Ramal, Kajang, hari ini.

Berita berkaitan

Ketua Pengarah MKN meninggal dunia

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 September 2019 @ 1:18 PM