GAMBAR hiasan

BEBERAPA kawasan di Seremban dan Tampin akan mengalami gangguan bekalan air selama 24 jam pada 8 Oktober depan, berikutan kerja penyelenggaraan di dua loji rawatan air (LRA).

Ketua Bahagian Perhubungan Awam Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS), Norzita Ismail berkata, gangguan bekalan air bermula 8 pagi pada 8 Oktober dan dijangka berakhir pada 8 pagi keesokannya.

“SAINS ingin memaklumkan kepada semua pelanggan bahawa kami melaksanakan penutupan sementara bekalan air yang dijangka mengakibatkan gangguan bagi beberapa kawasan di Seremban dan Tampin bagi memberi laluan kepada kerja penyelenggaraan LRA.

“Kerja penyelenggaraan loji di LRA Ngoi-Ngoi, dekat Pantai, di Seremban, akan menyebabkan gangguan di kawasan antaranya di Mantin, Nilai, Lenggeng, Broga Pajam, Citra Hill Fasa 1 dan 2 dan Sendayan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, bagi penyelenggaraan loji di LRA Gemas Baru, dekat Tampin, antara kawasan yang akan mengalami gangguan bekalan air adalah Kem Tentera Syed Sirajuddin, Air Kuning dan beberapa kawasan di Gemas.

“Sebagai langkah kontigensi, SAINS akan menghantar lori tangki di kawasan terjejas selain menempatkan tangki statik sekiranya gangguan melebihi 24 jam.

“Bekalan air akan disambungkan semula selepas waktu yang dinyatakan dan dijangka pulih secara berperingkat. Bagaimanapun, beberapa kawasan tinggi dijangka akan mengalami tempoh pembaikan yang lebih lama.

“Orang ramai yang mahu mendapatkan maklumat lanjut berhubung gangguan bekalan air ini boleh merujuk kepada laman sesawang SAINS di sainswater.com.

“Kerja penyelenggaraan ini adalah antara usaha berterusan SAINS dalam menambah baik dan meningkatkan mutu bekalan air demi kepentingan pelanggan pada masa hadapan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 September 2019 @ 1:58 PM