FOTO Hiasan
BERNAMA

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor akan diadakan pada 16 November ini, umum Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun.

Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 2 November, manakala pengundian awal akan diadakan pada 12 November, katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bagi membincangkan tarikh-tarikh penting bagi PRK berkenaan di ibu pejabat SPR di Putrajaya, hari ini.

PRK Tanjung Piai perlu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafiq, 42 yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 September lalu berikutan komplikasi jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Dr Md Farid, seorang pakar bius, mewakili Pakatan Harapan-Bersatu memenangi kerusi Parlimen terbabit dengan majoriti 524 undi.

Allahyarham yang juga Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai memperolehi 21,255 undi menewaskan Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS). Wee memperolehi 20,731 undi manakala Nordin, 2,962 undi.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Oktober 2019 @ 12:24 PM