PENGURUSAN foodpanda menilai semula kebajikan penghantar makanan di bawah syarikatnya yang terkesan teruk susulan pengenalan skim pembayaran baharu.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, komitmen itu disuarakan oleh syarikat itu dalam satu pertemuan beliau bersama pihak pengurusan tertinggi foodpanda pagi hari ini.

Menurutnya, dalam pertemuan itu juga beliau turut membangkitkan tiga perkara mengenai kebajikan penghantar makanan syarikat itu.

“Antaranya ialah kelangsungan hidup ‘riders’ (penunggang) terutamanya selepas berlangsungnya skim pembayaran baru.

“Turut dibangkitkan adalah mengapa wujudnya skim pembayaran yang berbeza untuk kawasan Lembah Klang dan kawasan lain seperti Johor, Pulau Pinang dan negeri lain.

“Selain itu, saya turut membangkitkan mengenai kebajikan ‘riders’ sekiranya skim baharu berdasarkan pesanan dilakukan dan apa pelan kedua jika keadaan cuaca seperti hujan lebat, jerebu dan sebagainya yang akan memberi kesan kepada order (pesanan),” katanya dalam status yang dimuat naik di laman sosial rasmi Instagramnya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq turut menjemput pengurusan foodpanda untuk hadir dalam sesi dialog beliau bersama penghantar makanan syarikat itu yang dijadual berlangsung 9.30 malam ini.

Terdahulu, penghantar makanan syarikat atas talian itu melancarkan mogok sebagai membantah pelaksanaan skim pembayaran baharu diperkenalkan syarikat itu yang berkuat kuasa mulai hari ini kepada semua penunggangnya di luar Lembah Klang.

Perkara itu kemudiannya mendapat perhatian Syed Saddiq dan kemudiannya mengatur satu sesi dialog bersama kakitangan foodpanda di kediamannya di Petaling Jaya hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Oktober 2019 @ 6:38 PM
SYED Saddiq memuat naik rakaman gambar antara beliau dengan pengurusan foodpanda di instagram, hari ini. FOTO Instagram