DZULKHAIRI (kiri) menunjukkan kereta yang ditemui dalam Op Lejang Khas Bahagian Siasatan Jenayah Iskandar Puteri, semalam.
Mohd Sabran Md Sani


ISKANDAR PUTERI: ‘Lapah’ beramai-ramai dan jual komponen kenderaan dicuri menggunakan media sosial Facebook (FB).

Itu kegiatan tiga kumpulan penjenayah dikenali sebagai Geng Lejang Shan Bertam, Geng Lejang Katte dan Geng Lejang Pak Tam yang dikesan aktif mencuri kenderaan di kawasan parkir terutama ditinggalkan pemilik yang bekerja di Singapura.

Ketiga-tiga kumpulan terbabit bagaimanapun ditumpaskan dalam operasi Op Lejang Khas Iskandar Puteri sejak Ogos hingga September lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejayaan menumpaskan sindiket itu susulan penahanan 17 individu berusia 18 hingga 39 tahun yang mendalangi kegiatan itu.

Katanya, polis sebelum ini melakukan intipan terhadap kegiatan kumpulan penjenayah yang terbabit melakukan curi kenderaan, pecah rumah dan pecah cermin kereta.

“Lima individu Geng Lejang Shan Bertam ditahan bersama enam kereta termasuk Proton Wira, Waja, Persona dan Honda Accord.

“Empat individu Geng Lejang Katte yang terbabit kegiatan curi kenderaan pula ditahan bersama motosikal Yamaha RXZ dalam serbuan kedua,” katanya di Balai Polis Gelang Patah di sini, semalam.

Katanya, empat individu membabitkan Geng Lejang Pak Tam yang terbabit mencuri van, motosikal dan kabel ditahan bersama van Nissan Venette.

“Selain itu, empat individu ditahan secara berseorangan bersama empat motosikal curi model Yamaha 135LC dan sebuah Honda EX5,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, kebanyakan geng curi terbabit menyasarkan kenderaan lama bagi mendapatkan alat ganti yang dijual di pasaran gelap termasuk FB.

“Lokasi sasaran bukan saja di kawasan ‘panas’ di Bukit Indah, Gelang Patah dan Nusa Bestari di sini, malah membabitkan tempat letak kenderaan di sekitar bandar raya ini.

Katanya, kepakaran dimiliki membolehkan kenderaan itu dilarikan geng terbabit dalam tempoh lima minit sahaja.

“Ada juga kenderaan dicuri di dalam kawasan kediaman mangsa, selain ketika melakukan perbuatan curi dan pecah rumah,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut memburu beberapa lagi kumpulan yang aktif mencuri kenderaan di daerah itu.

Katanya, semakan rekod jenayah mendapati 11 ahli daripada geng berkenaan ada rekod lampau termasuk kesalahan dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Oktober 2019 @ 5:50 AM