PEMANDU cedera selepas lori tangki muatan asid sulfurik yang dipandu terbabit kemalangan dan terbalik di Kilometer 373, Lebuhraya Plus arah selatan.
Muhammad Apendy Issahak


SLIM RIVER: Bomba mengambil masa lapan jam bagi memeriksa tumpahan bahan kimia susulan kemalangan yang mengakibatkan lori tangki muatan asid sulfurik terbalik di Kilometer 373 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.53 petang itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak menerima maklumat mengenai lori membawa muatan seberat 24,810 kilogram (kg) itu terbalik di bahu jalan dan dipercayai berlaku tumpahan bahan kimia.

Jurucakap JBPM Perak berkata, kemalangan itu membabitkan lori pasir dan lori tangki jenis isotank dengan muatan asid sulfurik (UN1830) dengan kelikatan 98 peratus yang terbalik.

“Lori berkenaan dipercayai terbalik ke bahu jalan susulan terbabit kemalangan dengan lori pasir.

“Pemandu lori tangki, lelaki berusia 32 tahun cedera di dada dan dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) yang tiba di lokasi kejadian kemudian melakukan penilaian bahaya di kawasan kemalangan dan mendapati tangki lori berkenaan tidak bocor.

“Bomba kemudian bertindak memastikan tiada sakibaki bahan kimia yang tertinggal di lokasi kemalangan itu.

“Tugas diserahkan kepada pihak kontraktor penyelenggaraan Plus bagi kerja selanjutnya dan operasi ditamatkan pada jam 12.15 tengah malam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 6:10 AM