HASANUDDIN Hassan menunjukkan 11 individu termasuk wanita yang dikehendaki bersabit kes dadah. FOTO Syamsi Suhaimi.
HASANUDDIN Hassan menunjukkan 11 individu termasuk wanita yang dikehendaki bersabit kes dadah. FOTO Syamsi Suhaimi.
Siti Nor Hidayatidayu Razali


POLIS merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM41.5 juta dalam tempoh Januari sehingga September tahun ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, rampasan itu membabitkan dadah jenis heroin, ganja, pil yaba, syabu, ubat batuk, pil eramin 5, daun ketum dan air ketum.

Katanya, jumlah itu juga meningkat RM9.7 juta berbanding tempoh sama, tahun lalu iaitu sebanyak RM31.8 juta.

“Kita turut menahan seramai 15,521 individu dalam tempoh berkenaan, peningkatan 16 peratus iaitu 2,140 orang berbanding, tempoh sama tahun lalu 13,381 orang.

“Harta disita dalam tempoh sembilan bulan berjumlah RM7.2 juta, peningkatan 20 peratus berbanding, tempoh yang sama tahun lalu RM6 juta,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Hasanuddin berkata, bagi membanteras kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah di negeri itu, polis Kelantan mengkehendaki 11 individu termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan.

Katanya, mereka yang dikehendaki dikenali sebagai Mohammad Shah Amierul Zawawisni, 22; Khairol Amirul Baharom, 24; Mohamad Nazar Ismail, 25; Muhamad Nur Azami Rusdin dan Mohd Faez Noma Zalani masing-masing berusia 26 tahun.

“Selain itu, Muhamad Akhbar Maula Mohd Rifin dan Nik Mohamad Suraidi Ismail berusia 27; Mohd Aiza’ad Mohd Asri, 30; Muhamad Faiza Husin, 33; Mohamad Hasbullah Md Noor, 39 dan Zaira Mohd Razali, 41.

“Kesemua mereka dipercayai terbabit dengan kes dadah sepanjang tahun lalu.

“Kita minta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan 11 individu ini tampil membantu atau menghubungi pegawai penyiasat atau hotline JSJN di talian 012-2087222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 10:45 AM
Digital NSTP Subscribe