RUMAH dalam pembinaan dirobohkan MPS ketika Operasi Perobohan Bersepadu Bagi Pemajuan Tanpa Kelulusan di Kampung Sungai Chinchin, Gombak, hari ini. FOTO Aswadi Alias.
Nor Akmar Samudin


SELEPAS tiga bulan notis dikeluarkan untuk memberhentikan pembinaan kediaman di atas tanah mempunyai pemilik di Sungai Chinchin, Gombak, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) terpaksa melakukan perobohan struktur kediaman didirikan itu, hari ini.

Timbalan Yang Dipertua MPS, Datuk Juhari Ahmad berkata, pihaknya percaya sindiket menjual tanah terbabit seperti sengaja mencabar penguat kuasa dengan mempengaruhi pembeli tanah itu supaya terus mendirikan struktur kediaman, meskipun notis peringatan sudah dikeluarkan.

Beliau berkata, sindiket terbabit berjaya memperdaya lebih 10 Pemastautin Tetap (PR) untuk membeli tanah yang mempunyai pemilik di situ.

“Tanah berkeluasan kira-kira 2.4 hektar itu diceroboh sebelum dijual antara RM30,000 hingga RM40,000 bagi satu lot tanpa pecah sempadan dan tukar syarat status tanah.

“Pemilik asal hanya menyedari tanah mereka diceroboh sewaktu MPS dan Pejabat Tanah Daerah (PTD) Gombak melakukan siasatan dan mereka disyorkan membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

“Penjualan tanah haram itu menyebabkan pembeli menanggung kerugian selepas 14 struktur yang sedang dalam pembinaan dirobohkan menerusi operasi penguatkuasaan dijalankan,” katanya pada Operasi Perobohon Bersepadu Bagi Pemajuan Tanpa Kelulusan, hari ini.

Beliau berkata, selepas notis dikeluarkan, sepatutnya tanah diceroboh itu dikosongkan, sebaliknya kerja pembinaan struktur rumah semakin ligat dijalankan.

Menurutnya, penguatkuasaan dijalankan di bawah salah guna tanah dan pembinaan bangunan tanpa kebenaran di bawah Akta 133 Akta Parit Jalan dan Bangunan, Undang-undang kecil Bangunan, Akta 172 Akta Perancangan Bandar dan Akta Kanun Tanah Negara.

Katanya, penguatkuasaan dilakukan bagi mengelak pencerobohan tanah berterusan dan menjadi tidak terkawal.

“Pembinaan bangunan tanpa kebenaran ini menyebabkan sungai dikambus dan rumah didirikan di atasnya.

“Ia bukan hanya menyebabkan banjir kilat, malah rumah dibina itu dikhuatiri tidak selamat kerana struktur tanah tidak stabil.

“Saliran tidak sempurna termasuk ada mengalirkan sisa buangan terus ke dalam sungai menyebabkan ia tercemar. Laluan masuk ke kawasan ini sempit menyukarkan kerja menyelamat jika berlakunya kecemasan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pembeli tanah supaya lebih peka dengan prosedur pembelian tanah bagi mengelak ditipu sindiket.

Katanya, selepas notis dikeluarkan pihaknya tiga bulan lalu, ada pembeli tampil membuat rayuan, namun gagal mengemukakan bukti pemilikan termasuk geran menunjukkan tanah itu adalah milik orang lain namun dijual oleh pihak lain.

“Jadi, elakkan ditipu dengan membuat semakan status tanah di PTD Gombak dan kelulusan perancangan di MPS.

“Jangan terpengaruh dengan iklan penjualan tanah dengan tawaran harga tidak masuk akal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 5:30 PM