ABANG Johari memberi maklum balas beliau mengenai isu GST pada sidang media di Kuching. FOTO Hazreen Mohamad


KERAJAAN Sarawak tidak mempunyai masalah sekiranya Kerajaan Persekutuan mahu memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, berkata tindakan itu terpulang kepada Perdana Menteri (PM), Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Terpulanglah kepada PM,” katanya ringkas selepas merasmikan Seminar Integriti Kepimpinan Masjid dan Surau Sarawak 2019, di Dewan Majlis Islam Sarawak, Kuching, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas sekiranya Kerajaan Persekutuan mahu memperkenalkan semula GST sekiranya itu menjadi kehendak rakyat.

Abang Johari ketika mengulas lanjut, bagaimanapun beliau sedikit ‘bingung’ dengan tindakan itu sekiranya benar Kerajaan Persekutuan mahu mengembalikan GST.

“Saya tidak tahulah, sekejap tolak... sekejap ambil,” katanya.

Sistem GST pada enam peratus dimansuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) bagi melunaskan janji manifesto mereka, dan memperkenalkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Baru-baru ini, Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER) agar cukai GST dengan kadar tiga peratus diperkenal semula menjelang Bajet 2020.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2020
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 7:41 PM