Raja Noraina Raja Rahim


AHLI perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini, atas pertuduhan menipu seorang lelaki bagi mendapatkan Pingat dan Darjah Kebesaran Tuan Yang Terutama (TYT) Melaka.

Tertuduh, Tuan Mochtar Tuan Abdul Malek, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Diana Md Razali.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menipu Lim Siang Yoong, 39, untuk membantu mendapatkan pingat atau gelaran darjah kebesaran daripada Kerajaan Melaka dengan menerima wang RM650,000 secara tunai yang mana selepas wang itu diterima tiada pingat atau darjah kebesaran diberikan.

Perbuatan berkenaan dilakukan di sebuah premis di Jalan S2 C9, Seksyen C, Seremban 2, Green Technology Park di Seremban, pada 20 Oktober 2017 hingga 10 Disember 2017.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Tuan Mochtar turut berdepan pertuduhan pilihan iaitu memperdaya mangsa yang sama atas tujuan sama sehingga mendorong lelaki itu menyerahkan wang RM650,000.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nuralis Mat, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Ahmad Damanhuri Mohd Yusof.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 4 November depan.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, polis memburu seorang lelaki kerana dipercayai terbabit penipuan mendapatkan Pingat dan Darjah Kebesaran TYT Melaka pada 2017.

Lelaki itu kemudian menyerah diri di Balai Polis Ayer Keroh, Melaka, jam 1 tengah hari semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Oktober 2019 @ 12:32 PM
TUAN MOCHTAR ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban. FOTO Adzlan Sidek
TUAN MOCHTAR ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban. FOTO Adzlan Sidek