ANTARA warga asing yang ditahan ketika operasi. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Nurul Hidayah Bahaudin


SERAMAI 49,472 warga asing sudah mendaftar bagi program Pulang Ke Negara Asal atau Back For Good (B4G) yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sepanjang tempoh 1 Ogos sehingga 3 Oktober lalu.

Ketua Pengarah JIM Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, daripada jumlah itu, warga Indonesia, Bangladesh, India, Pakistan dan Myanmar paling banyak membuat permohonan.

“JIM akan sekali lagi akan mengadakan perbincangan dengan pihak kedutaan asing di Kuala Lumpur supaya mereka memberi kerjasama untuk mendapatkan lebih ramai rakyat mereka yang tinggal secara tidak sah di negara ini menyertai program ini dan seterusnya balik ke negara asal masing-masing.

“Bagaimanapun, program terbabit tidak akan dilanjutkan seperti yang pernah diumumkan Menteri Dalam Negeri sebelum ini,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas mengetuai serbuan dilakukan JIM di sebuah kondominium di Batu 9 Cheras, hari ini.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan program berkenaan bagi mengurangkan bilangan PATI di negara ini yang dilaksanakan bermula 1 Ogos lalu sehingga 31 Disember nanti.

Program itu bagi memberi peluang kepada warga asing yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) untuk pulang ke negara asal secara sukarela mengikut syarat ditetapkan.

Dalam perkembangan berasingan, Khairul Dzaimee berkata, 13,589 operasi dilakukan pihaknya di seluruh negara sepanjang tempoh 1 Januari hingga 3 Oktober lalu.

“Dalam operasi itu, 159,372 warga asing diperiksa dengan 40,175 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 992 majikan ditahan.

“Malah, 45,498 PATI sudah diusir sepanjang tempoh itu, manakala 9,349 PATI terdiri daripada 7,352 lelaki, 1,752 wanita dan 245 kanak-kanak berada dalam tahanan depot yang kebanyakan dari Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan India,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Oktober 2019 @ 12:55 PM