GAMBAR HIASAN
Shamsul Munir Safini


LELAKI parah terkena dua tembakan di bahagian perut dan tangan kanan oleh individu tidak dikenali di hadapan Apartment Kelisa, Taman Inderawasih, Perai, awal pagi hari ini.

Dalam kejadian 2 pagi itu, mangsa Gunasekaran, 26, bersama empat rakannya sedang berbual di lokasi kejadian sambil duduk di atas motosikal.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, ketika itu datang Proton Waja yang dikesan meronda di kawasan itu.

“Proton Waja itu dilihat datang beberapa kali di situ sebelum mangsa dan rakannya yang curiga mengejar kenderaan itu.

“Proton Waja itu hilang sebelum dia gagal mengejarnya,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, tidak lama selepas itu motosikal mangsa dipintas kereta Perodua Myvi dan suspek di bahagian penumpang hadapan telah melepaskan dua das tembakan ke arahnya.

Menurutnya, tembakan yang dilepaskan suspek mengenai bahagian perut dan tangan kanan mangsa.

Katanya, mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Seberang Jaya bagi tujuan rawatan.

Nik Ros Azhan berkata, pihaknya tidak menemui kelongsong peluru di lokasi kejadian dan mangsa memaklumkan bahawa suspek membuka sedikit tingkapnya sebelum melepaskan tembakan.

Katanya, nombor pendaftaran kedua-dua kereta dinaiki suspek itu juga palsu dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Oktober 2019 @ 12:12 PM