KEADAAN kenderaan yang ditenggelami banjir di sebuah kampung di Mukim Tawar.
Oleh Safuri Kamarudin


Seramai 50 penduduk membabitkan 14 keluarga di dua kampung di Mukim Siong ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) semalam akibat banjir.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Baling, Leftenan (PA), Mohd Faizol Ab Aziz berkata, mangsa ditempatkan di Surau Kampung Seri Ketengga dan Dewan Orang Ramai Kampung Keda Batu Lapan.

Beliau berkata, hujan lebat selama tiga jam sejak 5 petang kelmarin menyebabkan air Sungai Ketil melimpah ke penempatan penduduk.

ANGGOTA APM membantu membersihkan rumah mangsa banjir.

“Hujan lebat berterusan menyebabkan rumah penduduk yang berhampiran tebing sungai dilimpahi air dengan cepat sehingga mencecah paras satu meter.

“Penduduk diarah berpindah kerana bimbang terperangkap dengan keadaan cuaca gelap dan air semakin naik,” katanya.

Sementara itu, mangsa, Alawi Waleh, 59, dari Kampung Batu Lapan berkata, rumahnya terletak di kawasan rendah berhampiran sungai.

Beliau berkata, air mulai masuk dalam rumah jam 9 malam.

“Saya hanya sempat mengangkat barang yang ringan ke tingkat atas dan tidak sempat menyelamatkan peti sejuk dan barangan berharga lain.

“Air masuk dengan cepat sehingga tidak sempat membawa barang lain ke tempat selamat,” katanya.

Sementara itu, Siti Aminah Awang, 50, berkata, banjir di kampung itu bukan sesuatu yang baharu kerana berlaku hampir setiap tahun.

“Dalam kejadian kali ini, air naik pada waktu malam menyebabkan banyak barang tidak dapat diselamatkan.

“Setiap kali banjir, banyak kelengkapan rumah rosak dan tidak boleh digunakan lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 6:40 AM