BANJIR yang melanda Baling. FOTO Ihsan APM
Safuri Kamarudin.


DUA lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka susulan bencana banjir di Baling malam tadi menjadikan empat PPS dibuka setakat hari ini.

Dua PPS berkenaan adalah di Dewan Tun Abdul Razak dan Kompleks Rakan Muda.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Baling, Shamsul Izrin Isahak berkata, setakat ini sebanyak 101 mangsa membabitkan 43 keluarga ditempatkan di empat PPS yang dibuka.

Menurutnya, hujan lebat berterusan sejak kelmarin menyebabkan air Sungai Ketil melimpah ke kawasan rendah sehingga satu meter.

"Kejadian itu mengakibatkan kawasan penduduk terjejas dan terpaksa dipindahkan atas faktor keselamatan," katanya.

Katanya, semua mangsa sudah menerima bantuan awal antaranya selimut, tuala, kain batik, kain pelikat dan kit makanan sebelum mereka dibenarkan pulang

Terdahulu, dua pusat pemindahan iaitu di Surau Kampung Seri Ketengga dan Dewan Orang Ramai Kampung Keda Batu Lapan dibuka susulan banjir pada Sabtu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 9:38 AM