Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


“SYUKUR ada pihak prihatin, moga ada keajaiban berlaku,” kata Diana Shamsudin, 36, sebak bercerita nasib menimpa suaminya, Syed Shahrin Sayid Mokhtar yang terlantar sejak lebih empat bulan lalu akibat kemalangan ketika bekerja.

Syed Shahrin, 36, yang sebelum ini pekerja am dengan syarikat kontraktor pengurusan sisa kumbahan, kini hanya terlantar di atas katil selain bergantung kepada susu nutrisi disalurkan melalui hidung untuk kelangsungan hidup.

Keadaan itu terjadi selepas bahagian depan tempurung kepalanya terpaksa dibuang akibat bengkak susulan hentakan objek keras ketika jatuh dari bangunan dua tingkat pada pertengahan Jun lalu.

Insiden terbabit menyebabkan Syed Shahrin terpaksa dibedah dua kali untuk membuang darah beku di bahagian kiri otaknya dan kini turut tidak mampu bercakap.

Situasi berkenaan mengakibatkan Diana yang juga suri rumah sepenuh masa terpaksa menumpang sementara di rumah peninggalan mentuanya yang kini dihuni adik iparnya, Syed Shahrizan Sayid Mokhtar, 32, bersama isteri dan seorang anak.

Keadaan itu memaksa Diana bergantung kepada Syed Shahrizan yang bekerja sebagai operator kilang untuk membantu menjaga suaminya, selain menyara empat anak mereka berusia antara tiga hingga 10 tahun dengan tiga daripadanya bersekolah.

“Apapun, Alhamdulillah masih ramai pihak baik agensi kerajaan mahupun penduduk setempat termasuk saudara-mara yang prihatin membantu.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberi bantuan bulanan RM350, Baitulmal pula menyumbangkan susu nutrisi, beg air kencing, saluran buang kahak, dan tisu basah manakala Pertubuhan Kebajikan Sosial (PERKESO) membiaya lampin pakai buang, katil boleh laras dan mesin penyedut kahak.

“Saya bersyukur kerana nasib kami mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), selain inisiatif beberapa pihak yang sudi membiaya kos pembesaran rumah atas inisiatif bekas ketua kampung ini,” katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Kampung Bukit Jana, Kamunting di Taiping, hari ini.

Sementara itu, Syed Shahrizan berkata, biarpun nasib keluarga abangnya mendapat perhatian pelbagai pihak, beliau tetap perlu mengeluarkan perbelanjaan untuk membiaya rawatan mencuci luka di bahagian belakang tubuh abangnya itu akibat baring terlalu lama.

“Kalau diikutkan lukanya perlu dicuci setiap hari yang membuatkannya perlu dihantar ke hospital, namun keadaannya dirasakan sangat tidak sesuai untuk dibawa ke sana apatah lagi perlu membayar tambang ambulans.

“Jadi kami menggunakan perawat yang berkebolehan mencuci lukanya di rumah ini dengan harga RM60 untuk setiap kali cucian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 3:56 PM
DIANA menjaga Syed Shahrin yang terlantar sejak empat bulan lalu setelah tempurung kepalanya terpaksa dibuang akibat kemalangan ketika bekerja. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri.