MOHD Isa
Nor Azura Abdul Jalil

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, diberitahu oleh seorang saksi bahawa Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) iaitu anak syarikat Felda membuat pelaburan dengan tidak mematuhi mandat yang diperuntukkan oleh lembaga itu.

Pegawai Tadbir Felda, Siti Salwani Mohamed Salleh, 41, dalam keterangannya berkata, pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) yang bernilai RM160 juta tidak mendapat kelulusan ahli lembaga pengarah Felda, bagaimanapun kesemuanya masih sah berdasarkan perjanjian jual beli antara Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd dengan FICSB.

Bagaimanapun Siti Salwani berkata, beliau tidak tahu bahawa terdapat mandat pelaburan yang ditetapkan Felda kepada FICSB adalah setakat RM100 juta ke bawah sahaja.

Menurutnya, beliau hanya mengetahui mengenai perkara terbabit ketika disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pembelian hotel di Sarawak itu.

“Mandat ini bermaksud mana-mana projek yang melebihi RM100 juta, perlu pergi semula ke ahli lembaga pengarah Felda untuk diluluskan.

“Sekiranya mandat ini tidak dipatuhi, ahli lembaga pengarah FICSB dikatakan telah membuat pelaburan yang tidak memenuhi syarat mandat yang dikenakan,” katanya.

Saksi kedua pendakwaan itu berkata demikian pada hari pertama perbicaraan kes bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad membabitkan pertuduhan pecah amanah dan rasuah berjumlah RM3 juta, tahun lalu.

Sementara itu, pada sesi pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz, Siti Salwani berkata, ahli lembaga pengarah FICSB bertanggungjawab menyediakan dokumen lembaga pengarah untuk mendapatkan kelulusan pembelian bagaimanapun tiada kertas kerja disediakan berhubung perkara ini.

Menurutnya, tiada ahli lembaga pengarah FICSB termasuk Mohd Isa memberi arahan kepada bahagian perundangan untuk menyediakan dokumen lembaga pengarah.

Katanya, adalah menjadi tugas ahli lembaga pengarah FICSB untuk dapatkan kelulusan daripada Felda.

Pada prosiding sama, saksi pertama pendakwaan, Penolong Pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Muhamad Akmaludin Abdullah, 35, berkata, beliau menerima permohonan daripada SPRM untuk membuat carian rekod dan dokumen berkaitan tiga syarikat.

Beliau berkata, tiga syarikat itu adalah FICSB, Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd dan JV Evolution Sdn Bhd.

Terdahulu di awal prosiding, Afzainizam dalam ucapan pembukaannya berkata, pihak pendakwaan akan membuktikan Mohd Isa melakukan pecah amanah sehingga menyebabkan kerugian kepada FICSB.

Beliau berkata, pendakwaan akan mengemukakan keterangan yang menunjukkan tertuduh iaitu Pengarah Syarikat FICSB dan Ahli Lembaga Pengarah FICSB diamanahkan dengan harta iaitu dana syarikat FICSB.

Beliau berkata, pendakwaan akan mengemukakan keterangan yang menunjukkan bahawa antara September 2013 hingga Oktober 2013, tertuduh mengarahkan Mohd Zaid Abdul Jalil, Ketua Pegawai Eksekutif FICSB untuk mengkaji cadangan pembelian MPHS di Kuching, Sarawak daripada Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd.

Katanya, pendakwaan akan menunjukkan bahawa tertuduh dimaklumkan oleh Mohd Zaid bahawa cadangan pembelian MPHS bernilai RM160 juta tidak perlu mendapatkan kelulusan Lembaga Felda.

Afzainizam berkata, pendakwaan akan mengemukakan keterangan yang menunjukkan bahawa perbuatan tertuduh itu adalah bertentangan dengan mandat yang ditetapkan oleh Ahli Lembaga Felda dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Felda bertarikh 25 Jun 2013 yang mana Ahli Lembaga Pengarah Felda memberi mandat kepada Ahli Lembaga Pengarah Syarikat FICSB dalam membuat keputusan pelaburan yang melibatkan projek bernilai RM100 juta ke bawah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 6:00 AM