Sofyan Rizal Ishak


CYBERJAYA: “Saya mahu melihat Malaysia jadi seperti Jepun di mana peminat sanggup ke negara berkenaan hanya untuk mendapatkan produk animasi mereka,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta Studios Sdn Bhd, Nizam Abd Razak.

Nizam yang menjadi antara pelopor sektor animasi tempatan menyifatkan industri ini mampu berkembang dan lebih berdaya saing dalam tempoh 10 tahun akan datang bukan saja di pasaran domestik malah antarabangsa.

Katanya, matlamat terbabit boleh dicapai melalui kerjasama semua pihak terutama antara usahawan Bumiputera dan bukan Bumiputera bagi memastikan pasaran itu lebih kukuh seperti mana pasaran Korea Selatan yang menyaksikan industri animasi kian berkembang selari dengan ekonomi mereka.

“Kerjasama antara kedua-dua pihak ini penting di mana sinergi antara mereka perlu dimanfaatkan dengan usahawan Bumiputera dilihat memiliki kekuatan kreativiti manakala, usahawan bukan Bumiputera memiliki kepakaran dalam aspek perniagaan membabitkan aktiviti pelesenan dan penjenamaan.

NIZAM yang menjadi antara pelopor sektor animasi tempatan.
NIZAM yang menjadi antara pelopor sektor animasi tempatan.

“Industri animasi memerlukan kerjasama semua pihak dan bukan bersifat eksklusif untuk satu pihak namun perlu inklusif bagi menghasilkan ekosistem lengkap daripada semua aspek seperti pembuatan, penghasilan dan pemasaran produk animasi untuk pasaran di Malaysia dan luar negara,” katanya di sini.

Sebagai antara Bumiputera yang memiliki jenama kukuh dalam bidang animasi, Nizam berkata, pembabitan usahawan Bumiputera dalam industri ini disifatkan amat memberangsangkan melalui penghasilan pelbagai kandungan animasi di pasaran namun, perlu meningkatkan kemahiran dan pengetahuan khususnya dalam aspek perlindungan harta intelek (IP) masing-masing.

Katanya, dalam masa sama, pihaknya berharap lebih banyak produk animasi tempatan dapat dieksport ke luar negara kerana ia bukan perniagaan semata-mata malah menjadi platform mempromosi budaya.

“Suatu hari nanti, saya ingin melihat orang luar datang ke Malaysia membeli produk animasi tempatan seperti mana di Jepun yang menyaksikan ramai peminat berkunjung ke sana hanya untuk membeli produk animasi mereka.


“Situasi ini bukan saja memberi impak kepada industri animasi negara itu sendiri malah turut memberi kesan kepada sektor berkaitan lain seperti pelancongan dan percetakan sekali gus turut memainkan peranannya dalam membantu ekonomi Jepun,” katanya.

Sementara itu, langkah kerajaan yang memberi perhatian serius kepada industri animasi melalui pengenalan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) membuktikan kerajaan melihat kepentingan sektor itu dalam membantu penjanaan ekonomi negara pada masa akan datang.

“Langkah kerajaan yang menggariskan industri kreatif seperti animasi sebagai 15 aktiviti pertumbuhan ekonomi dalam wawasan itu adalah satu langkah tepat kerana animasi bukan saja boleh dieksport malah membantu pembangunan industri domestik, mempromosikan kebudayaan dan paling penting, membuatkan semua orang gembira kerana kita bukan saja mahu menjadi negara maju malah, memiliki tahap kebahagiaan tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 8:36 AM
NIZAM
NIZAM