MOHD Zamri menguruskan isterinya, Norni yang terlantar di rumah mereka di Kampung Gerong, Tumpat.
MOHD Zamri menguruskan isterinya, Norni yang terlantar di rumah mereka di Kampung Gerong, Tumpat.
Siti Rohana Idris


TUMPAT: Seorang suri rumah terlantar sejak lapan bulan lalu selepas mengalami komplikasi ketika menjalani pembedahan, akibat darah tinggi.

Norni Yaacob, 38, yang dahulunya lincah membantu suaminya membuat dodol kini hanya mampu terlantar tanpa suara dan bergantung sepenuhnya kepada ahli keluarga terutama suaminya, Mohd Zamri Abdullah, 40.

Mohd Zamri berkata, isterinya menghidap darah tinggi sejak 13 tahun lalu selepas melahirkan anak ketiga mereka dan disebabkan keadaan kesihatannya itu tidak stabil, doktor menyarankan supaya Norni tidak lagi mengandung.

“Tekanan darah tinggi isteri naik secara mendadak dan dimasukkan ke hospital pada Februari lalu sebelum dirujuk ke Hospital Serdang, Selangor kerana dua hospital di sini tidak mempunyai peralatan lengkap berikutan perlu menjalani pembedahan dengan segera.

“Doktor memaklumkan salur jantungnya sudah membengkak sehingga berukuran 12 sentimeter dan khuatir terkoyak menyebabkan saya dalam dilema ketika doktor bertanyakan pendapat sama ada ingin meneruskan pembedahan atau tidak kerana ada dua risiko selepas pembedahan iaitu terlantar strok dan meninggal dunia.

“Saya bertanyakan isteri dan dia pada awalnya menolak pembedahan dilakukan dan menyerahkan kepada takdir sekiranya ajal menjemput namun saya berkeras serta memujuknya supaya bersetuju melakukan pembedahan kerana ingin berikhtiar,” katanya di rumahnya di Kampung Gerong di sini, semalam.

Mohd Zamri berkata, selepas menjalani pembedahan pada Februari lalu selama 14 jam, keadaan isterinya kronik apabila bacaan semua mesin yang dipasang di tubuhnya menurun dan doktor memaklumkan buah pinggang, saraf tunjangnya rosak serta otak sudah mati.

Dia berkata, melihat keadaan isterinya yang koma, harapan mereka sekeluarga semakin menipis dan ahli keluarga mulai reda jika Norni dijemput Ilahi bila-bila masa, namun di pihaknya masih berdoa dan melakukan solat hajat memohon keajaiban.

“Alhamdulillah Allah mendengar rayuan kami apabila hari kelima selepas pembedahan, isteri mula memberikan respon dengan membuka mata dan buah pinggangnya kembali berfungsi.

“Bagaimanapun, dia dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama sebulan sebelum dipindahkan ke wad biasa dan berkampung di sana selama empat bulan,” katanya sambil memberitahu isterinya dibenarkan pulang ke Kelantan dan menyambung rawatan di Wad Teratai, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu selama tiga bulan.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, sejak menguruskan isteri terlantar, kerja membuat dodol diserahkan kepada sepupunya untuk membantu dan keadaan kewangan mereka semakin menghimpit kerana perbelanjaan untuk susu khas serta lampin pakai buang isteri mencecah RM1,000.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada mereka boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Islam milik Mohd Zamri iaitu 03148020015631.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 5:50 AM