NURWATEE bersama anaknya, Nur Aira Batrisya. FOTO Nor Amalina Alias.
Nor Amalina Alias


USIANYA masih terlalu muda, namun seorang ibu bersedia mendermakan sebahagian hatinya demi menyelamatkan nyawa anak perempuannya yang menghidap penyakit kegagalan fungsi hati atau biliary atresia.

Nurwatee Che Mamat, 21, berkata, dia sanggup berkorban nyawa asalkan anak keduanya, Nur Aira Batrisya Muhammad Johari berusia 11 bulan dapat membesar sihat seperti kanak-kanak lain.

Katanya, ketika usia Aira dua bulan, anaknya mengalami masalah saluran hempedu menyebabkan dia dan suami, Muhammad Johari Mansor, 29, membawa bayi mereka mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Bachok sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

“Aira berada dalam wad hampir satu bulan dan doktor menyarankan kami lakukan pembedahan pemindahan hati dengan segera di China, namun kami tidak mampu kerana pembedahan memerlukan kos RM250,000.

“Pada usia sembilan bulan, perut Aira semakin membesar dan mata, wajah serta badannya bertukar warna kekuningan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Cina, Badak di Bachok, semalam.

Nurwatee berkata, kerana tidak mampu, dia dan suami yang hanya bekerja kampung terpaksa mengambil ubat-ubatan di klinik sahaja, sehinggalah Aira terpaksa dimasukkan ke wad Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu bulan lalu akibat masalah pernafasan.

Katanya, ketika dimasukkan ke hospital, doktor memberitahu dapat membantu mereka menjalankan pemindahan hati di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di Kuala Lumpur dengan kos RM90,000.

“Pada 29 Oktober ini, saya dan suami akan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani pemeriksaan hati kami sama ada sesuai atau tidak untuk diberikan kepada anak.

“Walaupun tahu risiko yang dihadapi, saya dan suami sanggup berikan hati kami kepada anak kerana mahu menyelamatkannya secepat mungkin, kerana kalau tunggu penderma yang sesuai saya takut masa untuk Aira semakin suntuk,” katanya sambil menahan sebak.

Selain Aira, pasangan ini mempunyai seorang lagi anak perempuan bernama Nur Wardina Jasmin, 3.

Katanya, Aira disahkan menghidap penyakit ‘Acute Dicompasated Liver Failure With Hypoalbuminemia and Hyponatremia’ kini bergantung pada tujuh jenis ubat dan hanya mampu makan nestum.

Kisah sedih Aira tular selepas penderitaannya dikongsi salah penduduk kampungnya, Wan Nurhidayu Wan Mat, 28, menerusi Facebooknya, Ayu Hidayu sehingga mendapat 1,200 perkongsian.

Orang ramai yang ingin membantu, boleh menyalurkan sumbangan ke akaun bank CIMB, 7612156456 atas nama Muhammad Johari Mansor.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 12:41 PM