Skip this ad x
Tertuduh dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Rizanizam Abdul Hamid


BANDUAN yang sepatutnya dibebaskan Jumaat ini terpaksa kembali semula ke tirai besi apabila dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini.

Tertuduh, Muhamad Shukri Khalid, 25, menerima hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap kesalahan melarikan diri daripada pengawasan anggota penjara yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Lelaki itu sebelum ini menjalani hukuman penjara lima tahun sejak Jun 2016 selepas didapati bersalah menyebabkan kematian tanpa niat individu lain dan sepatutnya dibebaskan Jumaat ini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh adalah tahanan sah mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan didapati melarikan diri daripada pengawasan anggota Penjara Dusun Dato Murad 12.45 tengah hari 18 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nora Yaacob memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan pesalah lain untuk tidak melakukan kesalahan sama.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman ringan dengan alasan tidak berniat untuk melarikan diri sebaliknya dia terkenangkan keluarganya di rumah terutama bapa yang sedang sakit.

Muhammad Nazrin dalam penghakimannya menjatuhi hukuman penjara setahun terhadap lelaki itu bermula selepas hukumannya sebelum ini tamat Jumaat ini.

Julai lalu, media melaporkan polis berjaya menahan semula seorang banduan lelaki yang melarikan diri dari tahanan di Penjara Dusun Dato Murad.

Lelaki berusia 25 tahun itu ditangkap 8.45 malam, tidak sampai 24 jam selepas melarikan diri ketika menjalankan tugas di Kelab Golf Tiara Ayer Keroh, pada 12.50 tengah hari, hari sama.

Banduan berasal dari Tanjung Agas, Muar itu bekerja di situ di bawah program Banduan Kemahiran Luar Penjara antara usaha sama penjara dengan Kelab Golf Tiara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 9:32 PM