SISTEM pembuangan sisa yang tidak terurus dengan baik di salah sebuah restoran yang telah dikompaun kerana mengabaikan kebersihan dalam satu operasi Majlis Perbandaran Kuantan. FOTO Ihsan MPK


BUKAN saja premis diarah tutup selama dua minggu, malah pengusaha restoran makanan di Indera Mahkota, Kuantan turut dikompaun atas kesalahan mengabaikan kebersihan, kelmarin.

Tindakan itu diambil Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) kerana didapati melanggar syarat yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MPK, Norkamawati Kamal berkata, sebanyak empat kompaun berjumlah RM1,750 dikenakan terhadap pengusaha restoran terbabit.

Katanya, antara kesalahan yang dilakukan ialah premis terbabit didapati dalam keadaan kotor dan membuat binaan kekal pada bahagian tepi bangunan tanpa kelulusan.

“Selain itu, tempat membasuh pinggan di bahagian belakang kedai dibina tanpa kelulusan, meletakkan lapan meja dan 28 kerusi tanpa kelulusan.

“Pengusaha terbabit juga didapati melakukan aktiviti tambahan di bahagian tepi premis iaitu menjual air batu campur dan cendol tanpa kelulusan,” katanya di Kuantan, hari ini.

Justeru, Norkamawati berkata, pihaknya menasihatkan premis perniagaan yang terbabit dalam pengendalian makanan meningkatkan kebersihan di premis masing-masing.

Katanya, MPK tidak teragak-agak untuk membatalkan lesen perniagaan jika pengusaha restoran dan kedai makan tidak mengutamakan kebersihan.

“Dalam kes peniaga makanan yang dikehendaki menutup premis selama 14 hari atas pelbagai kesalahan, mereka perlu membersihkan premis dan peralatan yang diguna pada tahap terbaik.

“Ia bagi memastikan aspek kebersihan tidak diabaikan untuk mengelak berlakunya kes keracunan makanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Oktober 2019 @ 1:47 PM