DR Mohd Fared (tiga dari kanan) berbincang dengan Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri, Azanizam Afendi Juri mengenai isu ejen tarik kereta.
Siti Rohana Idris


KOTA BHARU: Ejen penarik kereta dicadangkan supaya diberikan pakaian seragam oleh pihak berkuasa bagi memudahkan mereka dikenal pasti ketika melakukan tugas.

Yang Dipertua Persatuan Pengguna Islam Kelantan (PPIK), Datuk Seri Dr Mohd Fared Abdul Ghani berkata, cadangan itu berikutan pihaknya banyak menerima aduan daripada pemilik kenderaan berkaitan beberapa masalah timbul selepas kenderaan mereka ditarik.

Beliau berkata, ejen juga perlu bebas daripada sebarang rekod jenayah dan memegang kad keahlian yang dilantik pihak bank dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Kita menerima lebih 700 aduan setiap tahun berkaitan isu yang timbul berkaitan penarikan kereta termasuk kenderaan tiada di setor apabila tiba masa untuk mengambil semula sehingga memaksa pemilik membuat laporan polis.

“Sehingga kini ejen penarik kereta yang diiktiraf di Kelantan adalah seramai 75 orang yang mana semuanya mempunyai kad keahlian,” katanya di sini, semalam.

Terdahulu, Mohd Fared melakukan kunjungan hormat di pejabat KPDNHEP Kelantan, di sini untuk berbincang mengenai prosedur operasi standard (SOP) ejen penarikan kenderaan.

Beliau berkata, cadangan pemakaian uniform itu diajukan bagi memudahkan pengecaman kepada pengguna untuk urusan penarikan kenderaan dan mengelakkan insiden tidak diingini berlaku.

Katanya, tapisan lantikan ejen yang bebas daripada rekod jenayah juga perlu dibuat bagi memberi disiplin terhadap penugasan, sekali gus mengelakkan kejadian pergaduhan dan penarikan kenderaan secara kasar.

“Ejen juga perlu mengeluarkan surat berkaitan penarikan kenderaan, bukannya dokumen itu hanya ditunjukkan menerusi komputer riba sahaja seperti yang dilakukan ketika ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 5:40 AM