GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

MENTERI Kewangan Lim Guan Eng dijadual membentangkan Belanjawan 2020 yang sangat dinanti-nantikan di Dewan Rakyat pada 4 petang, hari ini.

Ia adalah kali kedua beliau membentangkan belanjawan tahunan negara itu.

Ramai rakyat Malaysia berkongsi harapan dan keinginan mereka untuk Belanjawan 2020 termasuk hasrat untuk melihat pelaksanaan inisiatif sosioekonomi yang memberi kesan secara langsung terhadap transformasi digital yang berterusan di bawah Revolusi Industri Keempat (IR 4.0).

Orang ramai tidak sabar untuk mendengar pengumuman inisiatif berkenaan bagi menampung kos sara hidup yang meningkat dan lebih banyak peluang untuk menikmati kehidupan berkualiti.

Kebanyakan ahli ekonomi menyatakan harapan bahawa belanjawan kali ini perlu memberikan hala tuju yang lebih besar daripada kerajaan menerusi visinya dan memberi tumpuan kepada pertumbuhan yang mampan.

Sementara itu, persatuan perubatan mendesak kerajaan supaya mengkaji semula keberkesanan dan kelemahan dasar kesihatan sedia ada demi manfaat untuk rakyat.

Menerusi matlamat utama untuk meningkatkan kemakmuran rakyat dalam cara yang adil dan inklusif, kerajaan Pakatan Harapan mendengar suara rakyat sambil berusaha mengotakan janjinya untuk memulihkan Malaysia kepada kedudukan fiskal yang lebih kukuh menjelang 2022, walaupun mewarisi kedudukan kewangan yang membimbangkan.

Majoriti penganalisis berkata, Belanjawan 2020 akan mencerminkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang bertujuan menyusun semula ekonomi dan jurang perbezaan antara orang kaya dan golongan miskin.

Sebagai rekod, peruntukan sebanyak RM314.5 bilion disediakan untuk Belanjawan 2019 bertemakan ‘Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera’.

Belanjawan 2020 juga adalah belanjawan kedua kerajaan Pakatan Harapan, sejak ia memerintah pada Mei 2018.

Pembentangan Belanjawan Malaysia 2020 akan disiarkan secara langsung menerusi media massa, saluran media sosial dan akaun rasmi Facebook serta Twitter Kementerian Kewangan.

– BERNAMA

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2020
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 9:32 AM