ANGGOTA bomba bertungkus lumus memadam kebakaran di Kampung Teck Guan, Lahad Datu. FOTO Ihsan Bomba
Norasikin Daineh


KIRA-KIRA 200 mangsa membabitkan 43 keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka diami musnah dalam kebakaran di Kampung Teck Guan, Lahad Datu, malam tadi.

Dalam kejadian 8.20 malam, kebakaran itu memusnahkan 10 pintu bilik daripada dua blok rumah kongsi yang didiami pekerja kilang tayar dan empat rumah termasuk dua rumah sewa membabitkan 15 pintu bilik di kawasan terbabit.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Tawau Ismaidi Ismail berkata, Balai Bomba dan Penyelamat Daerah (BBP) Lahad Datu menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 8.27 malam.

“Seramai 31 anggota termasuk dari BBP Kunak dikejar ke lokasi kejadian bersama empat jentera dan dua utiliti untuk memadam kebakaran.

“Hasil pemeriksaan mendapati kebakaran membabitkan dua blok rumah rumah kongsi dan empat rumah musnah 100 peratus. Usaha mengawal kebakaran segera dilakukan, bagaimanapun anggota menghadapi masalah tiada punca air di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya lagi, api hanya berjaya dikawal pada 10.35 malam sebelum berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 12.22 tengah malam tadi.

“Hasil pemeriksaan tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan dan anggaran kerugian masih belum dapat dipastikan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, kebakaran membabitkan dua rumah persendirian, dua rumah sewa yang dianggarkan ada 15 bilik serta 10 bilik dari dua blok rumah kongsi.

“Jumlah keluarga yang terbabit adalah 18 keluarga dari empat rumah dan 25 keluarga dari rumah kongsi terbabit.

“Sebahagian mangsa kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara dan ada juga yang menumpang di rumah ahli keluarga di sekitar daerah ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 10:38 AM