PESAWAT pejuang jenis RAF-TYPHOON milik Tentera Udara Diraja British (RAF) melakukan lintas terbang sempena Eksesais Bersama LIMA di ruang udara Menara Berkembar Petronas sekitar 10.15 pagi di Kuala Lumpur. FOTO Aizuddin Saad
Muhaamad Hafis Nawawi


PELANCONG luar negara dan orang ramai teruja apabila pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan pesawat Typhoon milik Tentera Udara Diraja British terbang rendah di sekitar Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Pesawat TUDM melakukan terbang lintas sempena Eksesais Bersama LIMA yang membabitkan pesawat Hawk 108 serta empat pesawat Typhoon bermula 10.15 pagi.

Malah pelancong dan orang ramai yang berada di sekitar tidak menghiraukan bunyi bingit ketika pesawat terbabit terbang rendah apabila masing-masing merakam detik indah itu melalui kamera dan telefon bimbit masing-masing.

Pengunjung, Ahmad Radzi Salim, 32, berkata, dia teruja menyaksikan pesawat milik dua negara itu terbang di sekitar Menara KLCC dan memberi kenangan terindah buat dirinya.

Menurutnya, dia datang ke sini bersama keluarga untuk menyaksikan pesawat terbabit selepas mengetahuinya akan ada pesawat terbang di sekitar sini hari ini.

“Sebelum ini saya hanya menonton pesawat terbang di kaca televisyen, namun kali ini saya berpeluang melihatnya sendiri di depan mata.

“Sudah tentu gembira dan walaupun bunyi bingit daripada pesawat itu namun ia suatu yang menarik dan jarang dapat dilihat selalu,” katanya ketika ditemui di luar perkarangan KLCC, di sini, hari ini.

Tiga pesawat Hawk 108 milik TUDM melakukan penerbangan terbabit bersama empat pesawat Typhoon sebelum satu lagi pesawat Hawk 108 terbang di luar formasi.

Sepanjang 25 tahun perkhidmatan pesawat Hawk, pesawat ini dioperasikan oleh tiga buah skuadron iaitu No 6 Skuadron, No 9 Skuadron dan No 15 Skuadron.

Malah antara operasi terbesar membabitkan pesawat ini adalah Ops Daulat pada Mac 2013 yang mana lima buah pesawat Hawk ditugaskan bagi melancarkan serangan bom dari udara ke kawasan persembunyian pengganas di Lahad Datu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 12:38 PM