LIM ketika pembentangan Belanjawan 2020 di Parlimen, Kuala Lumpur. FOTO Eizairi Shamsudin


BELANJAWAN 2020 yang dibentangkan hari ini, dilihat adil dan menyeluruh dalam konteks berdepan dengan hambatan ekonomi ketika ini.

Pensyarah Universiti Malaya, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, peruntukan dibuat mengambil kira seluruh rakyat, termasuk di negeri bukan ditadbir Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, ini misalnya kerajaan akan turut membina sekolah baharu di Tumpat (Kelantan) dan Marang (Terengganu), selain klinik baharu di Cameron Highlands (Pahang) serta Sungai Simunjan (Sarawak).

“Saya lihat belanjawan ini adil dan menyeluruh, walaupun tidak dapat memenuhi kehendak semua pihak, kerana mungkin ada kekurangan dan kelebihan tertentu.

“Ia bergantung kepada aspeknya, seperti Elaun Sara Hidup Nelayan, ketika kerajaan dahulu RM300, kemudian PH memberikan RM200 dan untuk tahun depan dinaikkan kepada RM250.

“Cadangan kerajaan supaya gaji minimum ditingkatkan pada kadar RM1,200 sebulan juga menunjukkan Kerajaan akui isu kos sara hidup di bandar besar,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau mengulas Belanjawan 2020 bertemakan ‘Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama’ dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Parlimen, Kuala Lumpur, hari ini.

Awang Azman berkata, peruntukan sebanyak RM23 juta bagi memastikan sekolah mempunyai kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU) juga sesuai dengan keprihatinan kerajaan terhadap golongan itu.

“Sebenarnya banyak aspek membabitkan OKU, termasuk latihan dan pekerjaan. Namun, peruntukan kerajaan ini boleh menjadi sebagai langkah permulaan.

“Walaupun ekonomi belum pulih, kalau kita lihat jelas komitmen kerajaan dalam isu ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 9:58 PM