MANGSA yang cedera dalam kebakaran rumah di Taman Changkat Mewah, Batu Gajah diberi rawatan awal. (Gambar kanan) Tiga kucing mati dipercayai akibat sesak nafas. FOTO ihsan bomba.
Muhammad Apendy Issahak


TIGA beranak terselamat dalam kebakaran rumah dua tingkat di Taman Changkat Mewah, Batu Gajah, hari ini, namun tiga kucing peliharaan mereka mati dipercayai akibat sesak nafas.

Kebakaran pada 7.30 pagi itu mengakibatkan penghuninya, Abdul Rahim Mohd Arif, 59, melecur di kaki, tangan dan muka manakala isterinya Norzehan Abdul Rahman, 58 serta anak lelaki mereka yang berusia 20-an selamat.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah, Megat Mohamad Dahari Megat Jamaluddin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kebakaran itu pada 7.42 pagi.

“Bomba mendapati kebakaran berlaku di bahagian tengah rumah berhampiran tangga dan anggota memadamkan kebakaran itu.

“Rumah berkenaan musnah 30 peratus dan terdapat seorang mangsa melecur susulan kebakaran itu yang diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, operasi pemadaman membabitkan 16 anggota dari BBP Batu Gajah dan Pasir Puteh itu tamat pada 9.46 pagi.

Sementara itu, difahamkan kebakaran berkenaan turut mengorbankan tiga daripada tujuh kucing peliharaan pemilik rumah terbabit.

Tiga kucing berkenaan ditemui mati di bahagian atas rumah berkenaan manakala empat lagi berjaya diselamatkan bomba.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Oktober 2019 @ 4:32 PM