DR Sahruddin (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada mangsa pencemaran Sungai Kim Kim, Affza Balqis Ahmad Sahre, hari ini. FOTO Hairul Anuar Rahim.
Mohd Sabran Md Sani


SERAMAI 766 mangsa pencemaran Sungai Kim Kim, Pasir Gudang yang lalu menerima wang ihsan bernilai keseluruhan RM161,000, hari ini.

Ia membabitkan 26 mangsa yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital dengan sumbangan RM500 seorang, manakala 740 mangsa masing-masing terima RM200.

Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, sumbangan itu diagihkan kerajaan pusat menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Diharapkan sumbangan ini dapat membantu meringankan kos rawatan yang terpaksa ditanggung semua mangsa.

“Saya berharap kejadian pencemaran di Sungai Kim-Kim tidak berulang lagi,” katanya pada Majlis Penyerahan Wang Ihsan sempena Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2019 Peringkat Johor di Dewan Serbaguna Taman Mawar, Pasir Gudang, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Mohtar Mohd Abdul Rahman dan Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani.

Dr Sahruddin berkata, senarai penerima sumbangan dikumpulkan NADMA dan Kementerian Kesihatan.

“Kita tidak menolak ada mangsa tidak tersenarai kerana gagal dikesan walaupun nama mereka tercatat dalam senarai dirawat di hospital.

“Setakat ini jumlah 766 mangsa ini adalah mereka yang ditahan di ICU dan dirawat di wad biasa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap, semua pihak lebih peka dan bekerjasama dalam mendepani isu berkaitan pencemaran, sekali gus memastikan sebarangan bencana dapat ditangani sebaik mungkin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Oktober 2019 @ 4:52 PM