Murni Wan Omar


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur, diberitahu bahawa salinan gambar barangan milik Datuk Seri Najib Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor serta anak mereka, Nooryana Najwa yang disita sebelum ini, akan ditunjukkan kepada mereka untuk dikenal pasti.

Gambar itu mengandungi antaranya, 315 beg tangan pelbagai jenama dan 14 utas jam, yang disita ketika serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menjawab soalan Hakim Mohd Zaini Mazlan, Timbalan Pendakwa Raya Fatnin Yusuf berkata, pihaknya akan menunjukkan gambar itu selepas tiada bantahan daripada mana-mana pihak.

Fatnin berkata, pihaknya tidak mempunyai bantahan untuk memberikan salinan gambar barang yang dirampas kecuali wang tunai pelbagai mata wang asing.

Terdahulu, Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib dan Rosmah serta peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili Nooryana Najwa Najib memohon salinan gambar ditunjukkan kepada anak guam mereka.

Mahkamah menetapkan 15 November depan untuk sebutan semula kes.

Pada 18 Julai lalu, Najib, 66, memfailkan notis usul bagi mendapatkan butiran lengkap dan memeriksa barangan yang disita SPRM termasuk 315 beg tangan pelbagai jenama dan wang tunai pelbagai mata wang asing.

Dalam notis usul itu, Najib memohon supaya responden membekalkan atau menzahirkan gambar berwarna berserta deskripsi lengkap seperti label, lambang, kad hadiah, bungkusan dan kotak yang dijumpai bersama dengan harta alih yang disita oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) pada 17 Mei 2018.

Najib memfailkan permohonan itu atas alasan sebahagian daripada kandungan kotak, beg serta bekas simpanan yang menjadi sebahagian daripada harta alih yang dirampas dikeluarkan daripada bungkusan asalnya dan menyebabkan kekeliruan bagi membuat pengecaman terhadap harta alih berkenaan.

Rosmah, 68, dan Nooryana, 31, pula memohon supaya diberi kebenaran untuk membuat pemeriksaan fizikal dan meneliti harta alih yang disita dan berada dalam jagaan PDRM.

Menurut kedua-dua notis usul itu, antara barangan yang dirampas ialah 315 beg tangan pelbagai jenama, 14 utas jam dan 27 pasang kasut pelbagai jenama serta wang tunai pelbagai mata wang asing antaranya membabitkan wang tunai RM537,000, Pound Sterling 2,700, Rupee Sri Lanka 2,870,000, wang lama Ringgit Malaysia RM187,750 dan Pound Sterling 320,500.

Pada 30 Mei lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan pihak pendakwaan mewartakan notis kepada pihak ketiga yang mempunyai kepentingan ke atas ratusan beg tangan pelbagai jenama, wang tunai pelbagai mata wang asing, jam tangan dan 27 kereta yang dirampas daripada pasangan suami isteri itu bersama tiga anak mereka dan 13 individu lain serta beberapa syarikat.

Mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan mengikut Akta 56 dan 61(2) Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 2:39 PM
NAJIB hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.