KEADAAN bahagian bumbung Dewan Dato Haji Ahmad Badawi runtuh. NSTP/ROSLI AHMAD
Shamsul Munir Safini


PIHAK kontraktor dan pemaju utama projek penyelenggaraan dewan Datuk Haji Ahmad Badawi diberi tempoh dua minggu bagi menyiapkan laporan penuh berhubung runtuhan siling dan bumbung bangunan itu, hari ini.

Dalam kejadian 10.40 pagi tadi, struktur utama bumbung dan siling dewan berkenaan runtuh ketika enam pekerja sedang melakukan kerja baik pulih kebocoran yang berlaku di situ.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) , Datuk Rozali Mohamud berkata, dewan itu masih dalam tempoh tanggungan kecacatan sehingga 13 Mac 2020 dan pihaknya sudah berhubung dengan pihak pemaju dan kontraktror utama bangunan bagi mendapatkan laporan penuh kejadian.

Beliau berkata, dewan berusia 18 tahun ini selesai dinaiktaraf pada 14 Mac 2019 dan diserahkan kepada MBSP pada 16 Julai tahun ini.

“Projek naik taraf ini diuruskan oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dengan kos naik taraf RM4.4 juta.

“Bangunan ini dinaik taraf dengan menggantikan bumbung termasuk kerangka, dewan utama, bilik, padang, kerja elektrikal, mekanikal dan landskap,” katanya.

Katanya, dewan ini adalah tempat tumpuan awam dan sering menjadi lokasi majlis keramaian selain program sambutan anjuran pelbagai agensi termasuk kerajaan negeri.

“Kompleks dewan terpaksa ditutup bagi kegunaan majlis dan prgoram yang sudah diatur dan sebarang penganjuran akan dianjurkan sementara di padang bersebelahan dan pihak MBSP akan menyediakan khemah bagi tujuan itu,” katanya.

Menurutnya, pihaknya menjangkakan projek menyiapkan semula runtuhan itu akan mengambil masa tujuh hari selain punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 6:17 PM