MOHD Isa hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan hari kelima kesnya. FOTO Mohd Yusni Ariffin.
Nor Azura Abdul Jalil


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur, diberitahu bahawa pembelian Merdeka Palace Hotel & Suite di Kuching, Sarawak (MPHS) mendapat persetujuan sebulat suara Ahli Lembaga Pengarah Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

Bekas Setiausaha FIC, Wong Siew Yeen, 49, dalam keterangannya bersetuju dengan cadangan peguam Datuk Salehuddin Saidin yang mewakili bekas Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Samad bahawa tiada bantahan dikemukakan oleh ahli lembaga pengarah ketika cadangan itu dibentangkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FIC, Mohd Zaid Abdul Jalil.

Wong juga bersetuju dengan cadangan Salehuddin bahawa ahli lembaga pengarah boleh menyuarakan bantahan mereka berhubung cadangan yang dikemukakan oleh CEO sekiranya ada, namun tiada sesiapa berbuat demikian.

Saksi pendakwaan ke-13 itu berkata demikian pada perbicaraan hari kelima kes pecah amanah dan sembilan tuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta yang dihadapi Mohd Isa.

Sementara itu, saksi pendakwaan ke-14, bekas Setiausaha FIC, Ruzeti Emar Mohd Rosli, 45, berkata, pengurusan FIC mencadangkan supaya pembelian hotel itu tidak diteruskan dan ia dipersetujui oleh ahli lembaga pengarah FIC kerana akan mengambil masa selama 27 tahun untuk mendapatkan keuntungan.

Ruzeti Emar berkata, ia berdasarkan pembentangan status terkini cadangan pembelian MPHS oleh bekas CEO FIC dalam Mesyuarat Lembaga FIC kali kelapan pada 26 Februari 2014.

“Mengenai penilaian ke atas MPHS, kos keseluruhannya adalah RM137,640,965.89. Kadar Pulangan Dalaman adalah 5.99 peratus dan Purata Pulangan Pelaburan adalah 3.44 peratus dan mengambil masa selama 27 tahun untuk mendapatkan keuntungan,” katanya.

Pada 14 Disember 2018, Mohd Isa mengaku tidak bersalah atas satu tuduhan pecah amanah dan sembilan tuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta bagi meluluskan pembelian sebuah hotel di Kuching, Sarawak oleh FIC.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Tingkat 50, Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC pada 29 April 2014 dan didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh didenda jika sabit kesalahan.

Mohd Isa juga didakwa melakukan semua kesalahan menerima rasuah di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 6:22 PM