Shamsul Munir Safini


POLIS merampas 9,256 karton rokok seludup bernilai hampir RM500,000 dan menyita empat kereta dengan jumlah keseluruhan rampasan hampir RM1 juta dalam serbuan di Taman Tanjung, Jalan Raja Uda, Butterworth, hari ini.

Dalam serbuan 2 petang itu, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang menyerbu dua lokasi berasingan sebelum menahan 10 individu terdiri daripada empat lelaki warga tempatan dan enam warga asing termasuk seorang wanita berusia 20 hingga 30 tahun.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik berkata, sindiket dipercayai didalangi warga tempatan itu berselindung di sebalik kilang perabot tidak digunakan dan pusat cuci kereta terletak bersebelahannya.

Beliau berkata, polis melakukan risikan lebih sebulan sebelum serbuan dan menemui 200 kotak besar mengandungi 9,256 karton rokok seludup pelbagai jenama di situ.

“Polis menjumpai semua rokok berkenaan di dalam kilang berkenaan termasuk beberapa kotak lagi dijumpai di dalam sebuah kereta dipercayai digunakan untuk menghantar semua rokok itu.

“Kami percaya sindiket sudah beroperasi lebih setahun di lokasi ini dan memperoleh rokok dari Kuala Lumpur untuk diedarkan di daerah ini,” katanya pada sidang media di Butterworth, hari ini.

Beliau berkata, polis sedang mengesan saki baki sindiket termasuk dalang atau ‘taukeh’ sebenar kumpulan penjenayah berrkenaan.

Menurutnya, semua enam warga asing termasuk seorang wanita itu tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan berasal dari Myanmar.

“Semua suspek ditahan bagi tujuan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai atau RM100,000, atau penjara tidak kurang enam bulan atau tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Mengikut akta sama, pesalah boleh dikenakan denda tidak lebih 20 kali ganda atau RM500,000 (yang mana lebih tinggi),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 7:34 PM
ROSLEE (kiri) memeriksa rokok yang dirampas. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal.