Saifuddin ketika sidang media mengenai Program Subsidi Petrol di Putrajaya baru-baru ini. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

KERAJAAN akan mengumumkan hasil kajian mengenai mekanisme subsidi petrol bagi isi rumah kumpulan berpendapatan sederhana (M40) pada tahun depan, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan masih dalam peringkat meneliti mekanisme itu yang dijangka siap menjelang Mac 2020.

“Kajian membabitkan M40 itu dijangka siap Mac depan dan kita akan membuat pengumuman selepas itu,” katanya ditemui selepas sesi Bicara Bersama Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Pemberi Maklumat Halifax Bank Of Scotland, Paul Moore di Kuala Lumpur hari ini.

Sesi yang dikendalikan oleh Rakan Kongsi dan Ketua Perundingan Risiko dan Perkhidmatan Forensik PwC Malaysia, Alex Tan, diadakan bersempena Sidang Kemuncak Pengarah Antarabangsa 2019.

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dipetik sebagai berkata, kerajaan akan mengumpulkan maklumat sewajarnya bagi menentukan bilangan mereka daripada kumpulan M40 yang layak untuk menikmati manfaat Program Subsidi Petrol (PSP) bersasar sebagaimana diumumkan dalam Belanjawan 2020 Jumaat lalu.

Menurut Saifuddin, kementerian beliau akan membincangkan secara lanjut perkara itu dengan Kementerian Kewangan dan agensi berkaitan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi merangka mekanisme untuk mengenal pasti hanya mereka yang layak menikmati manfaat itu.

Dalam pada itu, Lim turut menegaskan Belanjawan 2020 boleh disifatkan sebagai pemangkin bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi menerusi pelbagai insentif yang disenaraikan selain tumpuan terhadap aspek pendigitalan.

Kementerian Kewangan akan turut mempertimbang cadangan untuk memperluaskan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) jika ia tidak membebankan rakyat.

Terdahulu ketika berucap, Lim berkata, Malaysia adalah antara segelintir kecil ekonomi dunia yang menikmati pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) lebih pantas pada suku kedua berbanding sebelum ini.

“Pembaharuan institusi kita teras kepada daya tahan ekonomi negara ini,” katanya.

Malah Lim berkata, susulan pencapaian prestasi yang lebih kukuh bagi separuh pertama 2019, KDNK itu dijangka mencecah sekitar 4.7 peratus tahun ini berbanding 4.8 peratus pada 2020.

“Jika 2018 dan 2019 menjadi tahun untuk kita tumpu kepada usaha membersihkan kerajaan, 2020 sebaliknya menjadi tahun untuk kita tampil dan membuat lonjakan bagi menyertai senarai negara maju.

“Malangnya usaha kita untuk melonjakkan Wawasan 2020 itu dijejaskan oleh apa yang berlaku sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, skandal lampau menjadikan Malaysia tumpuan global atas sebab yang salah serta mengikis sebahagian besar keyakinan terhadap keupayaan kerajaan untuk melindungi kepentingan pelabur, perniagaan dan rakyat mengikut ketetapan undang-undang.

Sehubungan itu katanya, kerajaan kini dalam proses membina semula keyakinan rakyat serta melaksanakan antara lainnya pentadbiran bebas rasuah menerusi Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023.

“Minggu lalu Bank Dunia mengumumkan Worldwide Governance Indicators (WGI) mengukur kualiti institusi di lebih 200 negara.

“Malaysia adalah antara negara yang mencatat peningkatan dalam WGI khususnya dari segi akauntabiliti (kebertanggungjawaban), keberkesanan kerajaan, pentadbiran undang-undang serta antirasuah,” katanya.

Selain itu, Lim berkata, pembabitan tenaga kerja wanita yang rendah iaitu sekitar 55 peratus adalah disebabkan oleh pelbagai faktor dan angka itu lebih rendah daripada sasaran kerajaan 60 peratus.

“Dalam laporannya baru-baru ini, Bank Dunia menyatakan pendapatan per kapita kita boleh meningkat 26 peratus jika kita dapat menghapuskan semua kekangan yang dihadapi wanita dalam pasaran pekerjaan.

“Kita juga semakin hampir untuk mencapai sasaran penyertaan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dalam Lembaga Pengarah 100 syarikat yang tersenarai di Malaysia.

“Menurut Suruhanjaya Sekuriti, penyertaan wanita meningkat kepada 23.7 peratus pada 2018 daripada 16.6 peratus yang dicatatkan pada 2016,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 7:37 PM