AHLI keluarga membawa jenazah empat mangsa maut dalam kemalangan di Batu 37, Jalan Sandakan-Telupid dari Hospital Duchess of Kent di Sandakan, hari ini. FOTO Poliana Ronnie Sidom.
Poliana Ronnie Sidom


LELAKI tidak menyangka sikap pelik bapanya meminta maaf ketika bersarapan minggu lalu menjadi petanda terakhir akan meninggalkannya buat selama-lamanya.

Amarani Raja, 27, bukan saja kehilangan bapanya, Raja Arasad, 47, malah, dua adik iaitu Jun, 24, dan Marsil, 15, serta bapa saudara, Hassan Arasad yang maut dalam kemalangan di Batu 37, Jalan Sandakan-Telupid, dekat Sandakan, semalam.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari itu, empat mangsa itu dalam perjalanan dari Ladang Telisai untuk pulang ke Sandakan sebelum kereta dinaiki bertembung dengan lori ketika cuba memotong kenderaan lain.

Amarani berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan bapa serta dua adiknya seminggu lalu sebelum ketiga-tiga mereka ke ladang itu untuk bekerja.

“Sebelum berangkat, kami sempat bersarapan bersama dan bapa minta maaf kepada saya sambil beritahu dia tidak sempurna dalam mendidik anak.

“Rupanya itu petanda terakhir mereka akan pergi. Siapa tidak sedih empat ahli keluarga pergi serentak, tapi kami reda kerana itu sudah ketentuan Allah SWT,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Amarani berkata, mereka terkilan apabila cuma mengetahui kejadian itu lewat petang semalam selepas melihat gambar tular di Facebook.

“Kami cuba hubungi mereka melalui telefon selepas sedar mereka belum tiba di rumah waktu petang, namun telefon tidak dijawab.

“Kami tahu kejadian itu apabila ada kawan beritahu gambar tersebar di Facebook,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sandakan, Mohd Azhar Hamin berkata, siasatan awal mendapati kereta Proton Saga dinaiki semua mangsa bertembung dengan lori tiga tan ketika kereta terbabit cuba memotong kenderaan di depan.

Beliau berkata, ketika kejadian keadaan cuaca baik dan jalan kering.

“Semua mangsa maut di lokasi kejadian selepas tersepit manakala pemandu lori yang berusia 30 tahun tidak cedera.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Berita berkaitan

'4 maut kereta, lori bertembung'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 8:13 PM