Gambar hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


POLIS sedang mengesan individu yang memuat naik kenyataan menyamakan pasukan keselamatan itu dengan anjing di Twitter semalam.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya menerima dua laporan berhubung kenyataan individu berkenaan.

“Kedua-dua laporan itu dibuat di Balai Polis Jalan Tun Razak petang semalam.

“Polis kini mengesan suspek untuk tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam,” katanya.

Terdahulu, individu menggunakan nama Navin Pillai membalas ciapan Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berhubung isu pengganas dengan mengeluarkan kenyataan jelik dalam bahasa Inggeris.

Selain itu, individu terbabit turut memuat naik gambar Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan keterangan gambar ‘#petsatwork Anjing/Dogs and/bersama its Master/Tuhan’.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 8:54 PM