Laluan antara Setia Alam ke Shah Alam di NKVE yang akan terbabit untuk ujian ‘smartlane’ oleh PLUS bernmula 23 Oktober ini. Foto Ihsan PLUS
Mohamad Hussin


PLUS Malaysia Berhad (PLUS) merancang untuk memperkenalkan ujian ‘smartlane’ bagi mengatasi aliran kesesakan trafik di laluan Setia Alam ke susur keluar Plaza Tol Shah Alam mulai 23 Oktober ini.

Ketua Pegawai Operasi PLUS Zakaria Ahmad Zabidi berkata, pihaknya merancang untuk melaksanakan teknologi sistem pengangkutan pintar (ITS) dan memantapkan inisiatif ‘smartlane’ secara elektronik.

Menurutnya, langkah itu bertujuan untuk mengoptimumkan penggunaan semua laluan bagi membantu melancarkan aliran trafik sekali gus mengurangkan kesesakan laluan antara Setia Alam ke Shah Alam di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) pada pagi waktu puncak.

“Ujian sistem itu akan dilaksanakan di NKVE antara Kilometer (KM) 3.2 hingga KM9.2 (arah utara) iaitu dari Setia Alam ke Shah Alam mulai 6.30 hingga 9.30 pagi setiap hari Isnin hingga Jumaat.

“Dalam tempoh waktu puncak, ruang paling kiri yang sedia ada dibuka sebagai laluan sementara untuk menambah kapasiti lorong dan membantu melancarkan aliran trafik.

“Berdasarkan kajian, pertembungan trafik serta permukaan jalan yang sedikit mendaki menyumbang kepada kesesakan di NKVE.

“Ujian ‘smartlane’ ini adalah langkah proaktif bagi membantu pengguna menikmati perjalanan yang lancar,” katanya.

Zakaria berkata, PLUS melakukan pelbagai persediaan termasuk menempatkan anggota polis dan PLUSRonda di lokasi, memasang papan tanda trafik, menyediakan trak tunda tambahan di lokasi strategik dan menyediakan hentian kecemasan di KM5.6.

“Berdasarkan rekod PLUS, sebanyak 302,000 kenderaan menggunakan NKVE setiap hari dan 22 peratus daripadanya memasuki lebuh raya berkenaan secara serentak pada waktu puncak pada sebelah pagi.

“Bagaimanapun, dengan pelaksanaan ‘smartlane’, ia dijangka dapat mengurangkan kesesakan pada waktu puncak di laluan Setia Alam-Shah Alam sebanyak 30 hingga 40 peratus sekiranya aliran trafik lancar tanpa sebarang insiden seperti kemalangan atau kerosakan kenderaan.

“PLUS turut menyediakan trak tunda untuk bersiap sedia di lokasi untuk menghadapi sebarang kejadian.

“Pelaksanaan ‘smartlane’ terbahagi kepada dua fasa dan yang pertama beroperasi secara manual berdasarkan papan tanda jalan yang dipasang di sepanjang laluan terbabit,” katanya.

Menurutnya, fasa kedua pula dijangka beroperasi pada suku kedua tahun depan dengan menggunakan teknologi ITS sepenuhnya.

“Teknologi itu akan membolehkan PLUS mengurus penguatkuasaan dan menjalankan penyuraian trafik dengan lebih efisien.

“Kesemua sistem ini akan dapat dipantau dan diuruskan melalui Pusat Kawalan Trafik PLUS di Ibu Pejabat Persada PLUS.

“Kami juga bercadang memperluaskan inisiatif ‘smartlane’ membabitkan lokasi di lebuh raya PLUS pada masa akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Oktober 2019 @ 8:59 PM