GURU dibawa anggota polis untuk pertuduhan melakukan amang seksual dan aktviti seksual bukan fizikal terhadap tiga pelajar di Mahkamah Ampang. FOTO Eizairi Shamsudin
Sarah Zulkifli


GURU sebuah sekolah menengah didakwa di tiga Mahkamah Sesyen berasingan di Ampang, hari ini, atas 12 pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dan satu pertuduhan melakukan aktiviti seksual bukan fizikal kepada tiga pelajar perempuan berusia 13 dan 14 tahun.

Tertuduh, Mohd Shahrul Affendi Zakaria, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik semua pertuduhan yang dihadapinya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Suzana Hussin, Hakim Norhazani Hamzah dan Hakim Azrul Darus.

Terdahulu, guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu dan Geografi di sekolah itu dilihat tenang berdiri di dalam kandang tertuduh ketika pertuduhan dibacakan.

Bagi 12 pertuduhan amang seksual fizikal, bapa empat anak itu didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di bilik Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebuah sekolah menengah di sini antara Mac 2018 dan Ogos 2019.

Selain itu, dia juga dituduh melakukan amang seksual bukan fizikal ke atas remaja perempuan berusia 14 tahun di tempat sama pada 7.15 pagi, 26 Ogos lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, manakala Seksyen 15 (c) akta sama penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene, Nur Intan Syakieraah Zakaria dan Norhashimah Hashim masing-masing tidak menawarkan sebarang wang jaminan dengan alasan kes adalah serius dan tidak boleh dijamin.

Namun, tertuduh yang diwakili peguam Effa Azuin Aidrul Hisham merayu anak guamnya diberikan jaminan.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin selain menetapkan 18 November ini ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Tertuduh kemudian dihantar ke Penjara Sungai Buloh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 5:28 PM