Keadaan cemas ketika bas dinaiki rakyat Malaysia terbalik di Turki semalam. FOTO Ihsan Suzana Haron
Fuad Hadinata Yaacob


“KEJADIAN berlaku pantas. Sebelum terbalik bas yang dipandu laju itu seperti hilang kawalan, ke kiri, ke kanan.

“Ketika itu hujan dan jalan licin. Setibanya di satu selekoh, bas gagal dikawal sebelum terbalik di sebelah kiri jalan,” kata salah seorang mangsa bas dinaiki 35 rakyat Malaysia yang terbabas dan terbalik di di Afyonkarahisar, Turki semalam.

Suzana Haron, 41, berkata, ketika kejadian mereka dalam perjalanan dari Pamukkale ke Cappodokya.

Kemalangan itu menyebabkan seorang penumpang bas yang juga kakitangan PKNS, Azalan Miswan, 50, maut di lokasi dalam kejadian 11.45 pagi manakala 10 lagi cedera termasuk empat parah.

Suzana berkata, ketika kejadian kebanyakan penumpang melihat pemandangan sekitar dan dia duduk di bahagian kiri bas yang menempatkan satu kerusi penumpang.

“Sejurus bas terbalik, kami yang duduk di bahagian kiri bas dihempap rakan-rakan lain.

“Keadaan kelam kabut ketika itu dan saya terdengar suara menangis, mengerang kesakitan serta meminta tolong,” katanya.

Menurutnya, dalam keadaan kesakitan, dia serta rakan lain keluar melalui tingkap bahagian belakang bas yang pecah.

“Tangan kanan saya dan bahagian badan sakit disebabkan terhentak.

“Sejurus keluar, saya bersama rakan lain menyelamatkan kawan-kawan kami.

“Ketika itu ada antara mereka patah tangan, cedera di kepala, pinggang serta lebam akibat terhentak,” katanya ketika dihubungi hari ini.


Bas terbalik menyebabkan seorang maut manakala 10 yang lain cedera. FOTO Ihsan Suzana Haron

Suzana berkata, mereka menunggu ketibaan pasukan perubatan kira-kira 20 minit sebelum rakan yang cedera di bawa ke beberapa hospital berhampiran.

“Kami yang terselamat menerima rawatan awal sebelum dibawa ke sebuah hotel di Ankara manakala yang cedera menerima rawatan lanjut,” katanya.

Mengenai arwah Azalan, Suzana berkata, rakan yang dianggap seperti abang sendiri itu terhimpit di bawah pintu bas.

“Arwah duduk di depan bas bahagian kanan. Sebelum kejadian makanan yang saya makan terjatuh di lantai bas dan saya kutip, arwah sempat bergurau menyatakan di pejabat saya pembersih, di situ pun sama.

“Tak lama kemudian bas terhuyung-hayang sebelum terbalik,” katanya yang mengikuti rombongan itu sepatutnya dari 12 hingga 21 Oktober ini.

Menurutnya, dia mengenali arwah hampir 21 tahun sejak bekerja di PKNS dan mereka rapat seperti adik beradik.

Berita berkaitan

'Masih bincang kebumi di Turki atau Malaysia'

Azmin ucap takziah

'Tiada lagi kawan lumba ke surau'

[UPDATE] Waris masih tunggu maklumat susulan

Identiti rakyat Malaysia maut di Turki dikenal pasti

[UPDATE] Saya doakan mereka selamat

[UPDATE] PKNS tunggu maklumat kemalangan di Turki

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 6:26 PM