Sindiket judi atas talian tumpas selepas polis menyerbu sebuah pejabat di Jalan Cheras, malam tadi. FOTO Ihsan PDRM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SINDIKET judi dalam talian tumpas selepas polis menyerbu sebuah pejabat di Jalan Cheras, Kuala Lumpur yang dijadikan pusat operasi malam tadi.

Serbuan 8 malam itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, 16 ahli sindiket terdiri daripada sembilan lelaki dan seorang wanita warga China berusia 23 hingga 34 tahun ditahan selain merampas pelbagai peralatan digunakan untuk menjalankan kegiatan judi dalam talian.

Beliau berkata, siasatan mendapati premis yang disewa sindiket berkenaan dijadikan ‘calling center’ atau pusat panggilan untuk tujuan pertaruhan.

“Siasatan mendapati sindiket itu mensasarkan rakyat China sebagai pelanggan dan beroperasi di negara ini.

“Polis merampas pelbagai peralatan antaranya 14 komputer riba, 64 telefon pintar pelbagai jenama, dua modem, router serta peralatan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamed Mokhsein berkata, semua individu ditahan dibawa ke IPD Cheras dan siasatan lanjut berhubung modus operandi dan dalang utama sindiket itu masih dijalankan.

“Saringan awal air kencing terhadap semua individu didapati negatif dadah. Siasatan mendapati sindiket menyewa ruang pejabat berkenaan dengan sewaan RM6,000 sebulan dan sudah beroperasi kira-kira 2 minggu.

“Semua individu yang ditahan direman 14 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 8:11 PM