Surat pengedaran komik yang tular di media sosial. Foto Ihsan Pembaca


KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) tidak pernah mengeluarkan kebenaran dan kelulusan untuk pengedaran komik ‘Inisiatif Jalur Dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’.

KPM dalam kenyataannya hari ini berkata, pihaknya ada menerima laporan berkaitan pengedaran komik terbabit ke sekolah di seluruh negara.

“Kami ingin menegaskan bahawa KPM tidak pernah mengeluarkan kebenaran dan kelulusan untuk pengedaran komik ini kepada institusi pendidikan termasuk sekolah.

“Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah sudah diarahkan untuk memastikan semua sekolah tidak menerima dan membuat edaran komik daripada mana-mana pihak atau pembekal.

“KPM juga akan mengkaji dengan lebih teliti isi kandungan buku itu membabitkan fakta dan orientasi penulisan,” katanya.

Sementara itu, KPM berkata, pihaknya juga akan bekerjasama untuk mendapatkan ulasan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai aspek keselamatan yang membabitkan sensitiviti masyarakat dan hubungan luar negara.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa gambar mengenai sepucuk surat ‘pemberian naskhah ehsan komik ‘Inisiatif Jalur Dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ versi bahasa Melayu kepada SMK (Sekolah Menengah Kebangsaan) dan SMJK (Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan)’.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 8:50 PM