NAJIB hadir pada perbicaraan bagi membabitkan dana 1MDB di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO Syarafiq Abd Samad
Nasharuddin Muhammad dan Murni Wan Omar


BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempunyai kuasa mutlak dan dianggap seperti ‘Maharaja’ 1MDB.

Shahrol berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mewakili Najib yang menghadapi 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kedudukan serta penyelewengan dana berjumlah RM2.28 bilion.

Pada prosiding di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah, Muhammad Shafee berulang-ulang kali menekan saksi berhubung kuasa Najib di dalam membuat keputusan dalam 1MDB.

Shahrol dalam keterangannya bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa Najib mempunyai kuasa mutlak dan dianggap seperti seorang ‘Maharaja’ dalam 1MDB.

“Saya hanya boleh memberi keterangan tentang apa yang berlaku. Kami ketika itu beranggapan minit dan mesyuarat yang ditandatangani Najib adalah arahan daripada Perdana Menteri. Kami tertakluk untuk memenuhi arahannya.

“Sama ada ia mengikut peraturan atau tidak, tetapi ini yang terjadi. Dari 2009 hingga 2013 ketika saya melepaskan jawatan, saya masih melihat Najib sebagai pemegang kuasa mutlak dalam 1MDB,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan Muhammad Shafee merujuk Artikel 117 Memorandum dan Artikel (M&A) 1MDB, saksi kesembilan itu berkata, apabila bekerja rapat dengan Perdana Menteri, pihaknya perlu mengikut permintaannya.

SHAFEE: Saya cadangkan kepada anda, peruntukan ini seperti kuasa veto? Untuk seorang Perdana Menteri melangkaui keputusan syarikat?

SHAHROL: Secara hitam putih ya tetapi ia tidak terjadi seperti itu. Apa yang saya boleh kata apabila bekerja secara rapat dengan Perdana Menteri, kita perlu mengikut permintaannya.

SHAFEE: Saya cadangkan kepada kamu, interpretasi kamu adalah salah. Kamu membuatkan Najib seperti Maharaja 1MDB. Tidak ada semak dan imbang?

SHAHROL: Dalam kes ini? Saya boleh katakan ya.

SHAFEE: Jadi dia (Najib) memang Maharaja dalam 1MDB.

Terdahulu saksi kesembilan itu mengakui bahawa perlantikannya oleh Najib adalah atas kapasiti sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat syarikat dan bukan sebagai Perdana Menteri.

Beliau memberi kenyataan itu ketika menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika dirujuk surat perlantikannya sebagai CEO di 1MDB pada 2009.

Berdasarkan Artikel 117 Memorandum dan Artikel Pertubuhan (M&A) 1MDB, perlantikan jawatan hanya boleh dibuat oleh Perdana Menteri.

Bagaimanapun, saksi kesembilan itu menafikan berikutan itu perlantikannya sebagai CEO 1MDB adalah tidak sah.

SHAFEE: Merujuk kepada surat ini, Najib tandatangan sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Penasihat. Boleh Najib tandatangan untuk atas kapasiti itu?

SHAHROL: Beliau sepatutnya melantik saya atas kapasiti sebagai Perdana Menteri.

SHAFEE: Oleh itu surat ini adalah satu penipuan, perlantikan itu tidak sah!

SHAHROL: Tidak setuju. Ia dibuat oleh orang yang sama bagaimanapun saya faham apa yang dimaksudkan pihak Tuan.

Prosiding bersambung Isnin depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 9:04 PM