Ibu Pejabat Polis Bukit Aman
Muhaamad Hafis Nawawi


BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan hadir memberi keterangan di Bukit Aman esok bagi membantu siasatan berhubung satu hantaran di akaun Facebook (FB) miliknya yang didakwa berbaur fitnah terhadap Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed ketika dihubungi mengesahkan kehadiran Najib untuk membantu siasatan polis.

“Beliau (Najib) akan hadir kira-kira 9 pagi untuk dirakam percakapan,” katanya.

Kor Ming sebelum ini menggesa polis menyiasat FB ‘Najib Razak’ susulan hantaran berbaur fitnah ke atasnya yang dimuat naik pada 30 September lalu.

Ia berkaitan isu penghinaan terhadap Sultan Selangor membabitkan tanda jalan, dimuat naik dalam FB ‘Nga Kor Ming Super Fans’.

Kor Ming menganggap tindakan Najib itu sebagai cubaan merosakkan namanya serta menghasut rakyat membencinya serta parti.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 10:30 PM