KANAK-KANAK lelaki yang didakwa diculik semalam, sebenarnya dilarikan bapa kandungnya sendiri. FOTO Facebook
Nurul Hidayah Bahaudin


KANAK-KANAK lelaki yang didakwa diculik beberapa individu di tadika di Kampung Sri Jambu, Kajang, semalam, sebenarnya dilarikan bapa kandungnya sendiri.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, pihaknya menerima laporan dibuat ibu kanak-kanak lelaki berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, 9.40 pagi, semalam.

Beliau berkata, berdasarkan laporan dibuat wanita terbabit, dia mendakwa anaknya berusia lima tahun dilarikan tiga lelaki dan seorang wanita di tadika berkenaan.

“Siasatan awal mendapati seorang daripada suspek adalah bapa kepada kanak-kanak terbabit.

“Berdasarkan kepada keterangan wanita itu, suspek dikatakan membawa mangsa dalam keadaan paksa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, siasatan awal mendapati wanita terbabit dan suspek masih suami isteri yang sah.

“Sehingga kini, polis belum lagi menerima salinan perintah mahkamah berkenaan hak penjagaan kanak-kanak berkenaan. Setakat ini, belum ada sebarang tangkapan dibuat.

“Polis masih memanggil saksi untuk tampil dan menasihati wanita berkenaan bagi merujuk perkara itu kepada pihak mahkamah bagi mendapatkan pengesahan berhubung status penjagaan sah terhadap kanak-kanak terbabit,” katanya.

Terdahulu, satu status yang mendakwa kanak-kanak itu diculik ketika berada di tadika terbabit tular di media sosial sejak semalam.

Menurut status itu, tiga lelaki dan seorang wanita membawa kanak-kanak berkenaan masuk ke dalam sebuah kereta Perodua Myvi berwarna hitam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 6:31 PM