WANITA sarat mengandung berdepan detik cemas apabila rumahnya di Kampung Hilir di Sibu dilanggar sebuah kapal hari ini.

Kejadian 9 pagi itu menyebabkan dinding ruang tamu rumah sewa, Sumoi Hamsa, 40, runtuh.

“Saya sedang berbaring sambil menonton televisyen, ketika itulah terdengar jeritan jiran dari luar rumah.

“Saya masih tidak sedar apa berlaku ketika itu sehinggalah saya ke ruang tamu melihat sendiri kapal itu hanyut mendekati rumah lalu bergegas keluar rumah untuk menyelamatkan diri.” katanya yang sedang mengandung tujuh bulan.

Menurutnya, dia tidak mampu menyelamatkan apa-apa barangan kerana kejadian berlaku dengan pantas.

“Banyak juga barangan jatuh ke sungai dan nasib baik saya hanya seorang ada di rumah ketika itu kerana tiga anak semuanya bersekolah.

“Saya diberitahu oleh pekerja kapal bahawa enjinnya mengalami masalah dan sebab itu ia hanyut sebelum melanggar rumah kami.

“Ketika kejadian itu, saya juga tidak mendengar sebarang bunyi enjin kapal, hanya dengar orang menjerit dari kapal terbabit.” katanya.

Menurutnya, pekerja syarikat perkapalan itu ada berjumpa dengannya sekeluarga dan pemiliknya juga akan berjumpa untuk berbincang.

Sumoi berkata, laporan polis mengenai kejadian itu sudah dibuat pihaknya tetapi dia bersedia menarik balik laporan jika pihak terbabit berbincang dengan baik dengan mereka.

Video kejadian itu tular sejak tengah hari ini yang dipercayai dirakam oleh seorang penduduk kampung berkenaan.

Difahamkan, kapal itu hanyut dari seberang sungai lokasi syarikat kapal itu beroperasi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Oktober 2019 @ 7:35 PM
Keadaan ruang tamu rumah didiami Sumoi selepas dindingnya runtuh dilanggar sebuah kapal di Kampung Hilir, Sibu hari ini. (Gambar kecil) Sumoi. Foto Harun Yahya