Ahmad ketika ditemu bual wartawan Harian Metro.
Oleh Norizuan Shamsuddin


“Walaupun wujud kekangan mendapat bahan bacaan, berkat usaha bersungguh-sungguh dan bantuan daripada tenaga pengajar, saya berjaya memperolehi keputusan baik dalam Peperiksaan Percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” kata remaja yang mahu dikenali Ahmad, 20.

Dia antara 16 pelajar Sekolah Integriti Penjara Marang (SIPM) yang bakal menduduki SPM yang dijadualkan bermula 5 November ini.

Tahanan Limpahan Sultan yang menghuni Penjara Marang di sini, sejak 2016 itu antara pelajar yang mendapat keputusan terbaik sewaktu Peperiksaan Percubaan SPM.

Menurut Ahmad, dia mengambil keputusan menyambung persekolahannya dengan menduduki SPM bagi menebus kesilapan sebelum ini sehingga mengaibkan keluarga.

“Walaupun berada di sebalik tembok besi, saya tidak mahu kecewakan ibu dan ayah.

“Saya mahu buktikan saya mampu mendapat keputusan cemerlang dalam SPM, sekali gus menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Anak bongsu daripada tujuh beradik itu berkata, dia tidak mahu mensia-siakan peluang serta sedia melakukan yang terbaik bagi mendapatkan 7A bagi peperiksaan SPM kelak.


Pelajar SIPM mengulang kaji pelajaran di perpustakaan.

Katanya, demi merealisasikan cita-citanya dia banyak menghabiskan masa mengulang kaji pelajaran bersama rakan serta menelaah di luar bilik darjah.

“Kami mengulang kaji dan mendapatkan bahan bacaan di pustaka mini di penjara.

“Walaupun tidak banyak bahan bacaan, tapi tunjuk ajar daripada guru banyak membantu kami,” katanya.

Sementara itu Pengarah Penjara Marang, Penolong Kanan Komisioner Wan Sani Ab Latiff berkata, pihaknya dalam proses menambah bahan bacaan di dua pustaka mini terbabit bagi kemudahan penghuni.

Katanya, kemudahan bahan bacaan tidak terhad kepada pelajar tetapi turut boleh dipinjam penghuni lain.

“Pustaka itu ditubuhkan sejak 2008 dan bahan bacaan hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk syarikat swasta serta individu.

“Ia inisiatif bagi memastikan penghuni celik huruf dan dapat mencari ilmu dengan membaca selain melaksanakan aktiviti ilmiah serta keagamaan.

“Kami mengalu-alukan sumbangan buku dan bahan bacaan daripada orang ramai atau mana-mana agensi bagi mengisi keperluan pustaka ini.

“Mereka boleh bertemu pihak pengurusan Penjara Marang bagi menyerahkan sumbangan berkenaan,” katanya.


Wan Sani (kanan) melawat pustaka mini Penjara Marang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 7:00 AM