BOMBA membantu membawa turun kanak-kanak yang terperangkap di atas bumbung kompleks membeli-belah di Kuantan, selepas cuba meyelamatkan anak kucing. FOTO Ihsan Bomba
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


NIAT baik untuk menyelamatkan anak kucing yang terperangkap di atas bumbung kompleks beli belah, di Kuantan, bertukar detik mencemaskan buat kanak-kanak lelaki apabila dia gagal untuk turun dari bumbung bangunan itu, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam itu, mangsa berusia 12 tahun yang juga kanak-kanak etnik Rohingya dikatakan melihat anak kucing di atas bumbung bangunan satu tingkat sebelum mengambil tindakan memanjat bumbung itu.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa berseorangan memanjat bumbung bangunan melalui palang jejantas sebelum gagal untuk turun.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.06 tengah malam sebelum jentera bomba tiba lima minit kemudian.

“Usaha menyelamatkan kanak-kanak itu digerakkan dengan kekuatan empat anggota yang menggunakan tangga.

“Hampir 30 minit mangsa terperangkap sebelum anggota kita berjaya menyelamatkannya.

“Mangsa tidak mengalami kecederaan dan diserahkan kepada penjaganya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Anuar turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya mengawasi tingkah laku serta pergerakan anak mereka supaya insiden seperti itu tidak berulang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 9:13 AM