VIDEO tular menunjukkan kanak-kanak lelaki dalam keadaan mata lebam bersama seorang lelaki dipercayai warga asing di Stesen MRT Bukit Bintang menuju ke Stesen MRT Maluri. FOTO IHSAN PEMBACA
Nurul Hidayah Bahaudin


“NALURI saya sebagai ibu kuat menyatakan bahawa dia bukan anak saya,” kata Sainih Sunding, 46, ibu kepada kanak-kanak lelaki dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Bandar Seri Putra, Bangi, sejak 15 April lalu.

Mangsa, Muhammad Zahiruddin Putra Mohd Fauzi, 8, yang mesra dengan panggilan Zahir dikatakan keluar dari rumahnya kira-kira jam 8 pagi untuk bermain bersama rakannya sebelum dilaporkan hilang.

Sainih berkata, dia dimaklumkan mengenai penemuan Zahir oleh orang awam berdasarkan satu video tular di Twitter kira-kira jam 2 petang, semalam.

“Apabila saya melihat video itu, saya mendapati bentuk wajah kanak-kanak dalam rakaman tidak sama seperti Zahir termasuk mata dan kening.

“Mungkin bahagian hidungnya agak serupa, namun saya yakin kanak-kanak itu bukan Zahir,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, perasaan sedih menyelubungi dirinya semula apabila melihat video berkenaan.

“Saya teringat pada Zahir. Apabila melihat video itu, saya bimbang terhadap nasib dia kerana khuatir benda buruk berlaku terhadapnya,” katanya yang juga seorang tukang cuci.

Terdahulu, satu video berdurasi 10 saat menunjukkan kanak-kanak lelaki dalam keadaan lebam di bahagian mata bersama seorang lelaki dipercayai warga asing tular di media sosial sejak semalam.

Menurut status video berkenaan, kejadian berlaku Selasa lalu kira-kira jam 8 malam di Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Bukit Bintang menuju ke Stesen MRT Maluri.

Status itu mendapat perhatian warganet apabila ada pihak mendakwa wajah kanak-kanak itu mirip Zahir menyebabkan poster makluman Nur Alert mengenai kehilangannya tular semula di media sosial sejak semalam.

Dalam perkembangan lain, Sainih berkata, bekas suaminya yang juga bapa kepada Zahir, Mohd Fauzi Abdul Ghaffar, 45, selalu bertanyakan perkembangan mengenai anak bongsunya kepada pihak polis.

“Sehingga kini, tiada perkembangan terbaru mengenai lokasi dia berada. Bagaimanapun, kami sekeluarga tidak pernah putus asa mencarinya sehingga ditemui,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, siasatan berhubung kehilangan kanak-kanak itu masih berjalan.

“Pencarian kanak-kanak ini masih berjalan dan kes disiasat sebagai orang hilang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 10:33 AM