FOTO Hiasan
Muhamad Razis Ismail


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menjalankan siasatan punca sebenar kematian lelaki yang dikatakan terkena serangan virus Zika di Perak, semalam.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zulkefly Ahmad berkata, ujian makmal yang dilakukan mendapati lelaki berusia 30 tahun itu turut dijangkiti penyakit kencing tikus atau Leptospirosis.

Katanya, ketika dibawa ke hospital, dia turut mengalami imunisasi rendah dan dehidrasi.

“Kita tidak boleh kaitkan sepenuhnya dengan Zika kerana pada masa sama, pesakit turut positif Leptospirosis.

“Oleh itu, siasatan terperinci dijalankan untuk mengenal pasti punca kematian dan kita jangka keputusan diperoleh sekurang-kurang dua minggu,” katanya dalam sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Penutup Persidangan Saintifik Tahunan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM) ke-21, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Zulkefly berkata, sebanyak sembilan kes penyakit Zika dilaporkan di negara ini, namun tiada kematian direkodkan.

“Laporan Badan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan majoriti pesakit yang dijangkiti penyakit Zika memiliki kadar kematian sangat rendah.

“Penyakit Zika disebarkan nyamuk Aedes dan sebenarnya penyakit Denggi lebih bahaya. Usaha berterusan memang kita lakukan untuk menghapuskan pembiakan nyamuk ini,” katanya.

Harian Metro hari ini melaporkan, seorang pegawai Maritim Malaysia yang dijangkiti virus Zika meninggal dunia di Hospital Seri Manjung, Perak, semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata, pihaknya masih melakukan siasatan bagaimana pesakit berusia 30 tahun itu boleh mendapat jangkitan itu, termasuk pergerakan dan perhubungan mangsa serta sama ada ia berkaitan dengan jangkitan lain terhadap pesakit.

Berita berkaitan

'Kami bangga dengan Mohamad Ikmal' [METROTV]

Virus Zika: Mohamad Ikmal selamat dikebumikan

Pesakit Zika meninggal dunia

Lelaki kena virus Zika

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Oktober 2019 @ 3:59 PM